SENEGAL menahan tiga petugas kesihatan berhubung kematian seorang wanita hamil dan bayinya, yang terbaru dalam rentetan skandal penjagaan kesihatan ibu, kata wakil kesatuan sekerja semalam.
Kematian itu sekali lagi menunjukkan kelemahan sistem kesihatan Senegal selepas beberapa siri kemalangan maut.
Pada malam Selasa seorang wanita dan bayi yang dikandungnya meninggal dunia ketika bersalin di sebuah pusat kesihatan di bandar tenggara Kedougou, seorang wakil kesihatan memberitu AFP.
Laporan media tempatan menggambarkan penjagaan yang teruk ditawarkan oleh pasukan perubatan.
“Tiga orang ditahan sejak Rabu. Mereka ditahan di gendarmerie Kedougou kerana kecuaian,” kata wakil kesatuan itu.
Mereka termasuk pakar sakit puan, pakar bius dan jururawat, tambahnya.
Menurut media Senegal Dioura Diallo tiba pada petang Selasa di pusat kesihatan itu.
Dia meninggal dunia selepas mengalami pendarahan yang banyak dan selepas pembedahan anaknya pula meninggal dunia, menurut laporan.
Pada 7 April Astou Sokhna seorang wanita berusia 30-an meninggal dunia semasa bersalin di sebuah hospital di Louga, utara Senegal selepas menanggung kesakitan apabila terpaksa menunggu dalam waktu yang lama untuk menjalani pembedahan.
Tiga bidan dijatuhi hukuman penjara enam bulan yang ditangguhkan pada Mei kerana “kegagalan membantu orang dalam bahaya” dalam kes itu.
Pada 25 Mei seramai 11 bayi yang baru lahir maut dalam kebakaran hospital di bandar barat Tivaouane.
Tiga orang yang berada dalam tahanan dibebaskan dengan ikat jamin pada Ogos, menurut media tempatan.
Empat bayi yang baru lahir turut maut dalam kemalangan sebuah pusat kesihatan di Linguere, utara Senegal pada April 2021.
Presiden Macky Sall mengakui sistem kesihatan semakin teruk selepas tragedi Tivaouane dan mengarahkan audit seluruh negara bagi perkhidmatan neonatal. – AFP, 2 September, 2022.
Komen