Pemain industri merungut lama tunggu pekerja warga asing


Khoo Gek San

Seramai 47,000 pekerja warga asing dikatakan tiba di negara ini dengan kebanyakannya dari Nepal, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan baru-baru ini. – Gambar fail EPA, 2 September, 2022.

MAJIKAN yang masih menunggu untuk menerima pekerja warga asing, mendesak Putrajaya tidak mengamalkan birokrasi bagi mempercepatkan proses pengambilan pekerja.

Mereka berkata lambakan kertas kerja ditambah dengan proses pengambilan yang lembap menyebabkan mereka kerugian apabila terlepas beberapa peluang perniagaan.

Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia Ding Hong Sing berkata secara purata tempoh 60 hingga 75 hari diperlukan untuk mendapat pekerja.

Lebih teruk lagi, jumlah pekerja yang diperoleh tidak sama dengan bilangan yang dipohon majikan.

Walaupun majikan dalam sektor pembuatan boleh menarik nafas lega dengan kehadiran kira-kira 47,000 pekerja warga asing, tetapi mereka yang masih dalam senarai menunggu berkata terpaksa menolak tempahan luar negara kerana bimbang tidak dapat memenuhi kontrak.

Mereka berkata tempahan itu kini beralih ke Vietnam, Indonesia dan Thailand.

Pekerja warga asing seramai 47,000 itu kebanyakannya dari Nepal, di mana Menteri Sumber Manusia M Saravanan sebelum ini berkata ia bagi memenuhi jurang dalam pasaran pekerjaan.

Beliau berkata setakat ini 39,000 pekerja diluluskan untuk bekerja.

Ding berkata terlalu banyak dokumen diperlukan dalam proses permohonan itu.

Tambahan lagi, kerajaan terlalu lambat dalam menetapkan tarikh temubual dengan majikan.

“Ia lambat kerana pada masa ini ramai IKS dalam proses pulih daripada pandemik dan perlu cepat untuk menyelesaikan tunggakan tempahan dan menerima tempahan baharu.

“Lama betul kami menunggu,” kata Ding kepada The Malaysian Insight.

Katanya, daripada 47,000 pekerja yang tiba di negara ini, IKS hanya terima “sedikit saja” pekerja.

Beliau berkata dengan ketibaan pekerja yang perlahan, ahli persatuan itu menganggarkan mereka akan menerima pekerja sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Temubual dibatalkan

Persatuan Peniaga Bumiputera pula mempersoalkan Putrajaya mengapa ahli persatuan itu tidak menerima jumlah pekerja yang dipohon.

Presidennya, Ameer Ali Mydin berkata kerajaan tidak meluluskan jumlah pekerja diminta industri, dengan bilangan kadar pengurangan yang tinggi.

“Jika majikan mohon 1,000 pekerja asing, kerajaan hanya luluskan 200,” katanya.

“Kami bukan dapatkan pekerja asing secara percuma. Perlu bayar levi, dan kami yang bayar gaji mereka.

“Bukan kami hendak pekerja asing untuk suka-suka. Kami mohon apa yang kami perlukan dan kerajaan sepatutnya luluskan permohonan itu,” katanya yang juga pengarah urusan Kumpulan Mydin.

Kumpulan itu yang mempunyai rantaian pasar raya besar, mempunyai 6,000 pekerja.

Satu lagi isu yang menggusarkan peniaga ialah pembatalan permohonan temubual.

Amir berkata bukan saja pengambilan pekerja mengambil masa terlalu lama, permohonan temubual juga dibatalkan pada saat akhir.

“Saya tidak faham kenapa kami dipanggil untuk temubual dan kemudian ia dibatalkan.”

Amir berkata pembatalan itu memberi kesan domino dan menyebabkan kelewatan dalam mendapatkan pekerja.

“Ini menyukarkan untuk kami merancang. Mendapatkan pekerja adalah satu proses. Anda perlu perancangan yang baik. Bukannya kita mohon hari ini, esok dapat pekerja.”

Amir berkata sektor penjualan memerlukan kira-kira 250,000 pekerja. – 2 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen