Siapa boleh bayar denda sejumlah itu, tanya peguam Rosmah 


Ravin Palanisamy

Peguam bela Jagjit Singh yang mewakili Rosmah Mansor menyifatkan denda yang dikenakan mahkamah sebagai yang terbesar dalam sejarah perundangan Malaysia.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 1 September, 2022.

JUMLAH denda besar yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Rosmah Mansor selepas disabitkan dalam perbicaraan rasuah hibrid solar, adalah tidak pernah berlaku sebelum ini dan yang terbesar dalam sejarah perundangan Malaysia, kata Jagjit Singh.

Ketua peguam bela itu mengkritik denda yang dikenakan ke atas Rosmah dan menyatakan dia tidak mempunyai sebarang punca pendapatan.

“Hari ini hukuman dijatuhkan dan dendanya RM970 juta, hampir RM1 bilion.

“Kamu beritahu saya, jika ada di antara kamu yang mampu sediakan wang seperti itu?

“Kami mempunyai hampir RM1 bilion untuk dibayar oleh anak guam kami yang tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan.

“Denda yang dikenakan tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia adalah yang terbesar dalam sejarah perundangan Malaysia,” kata Jagjit kepada media selepas keputusan itu hari ini.

Rosmah dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah melakukan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – 1 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen