KIRA-KIRA 16 juta penduduk di bandar Chengdu, China akan dikenakan perintah berkurung mulai Khamis ketika pihak berkuasa berusaha menghapuskan penularan wabah Covid-19 terbaharu.
China merupakan ekonomi utama terakhir yang terikat dengan dasar sifar-Covid, menghentikan serangan virus dengan sekatan pergerakan segera, ujian besar-besaran dan kuarantin yang panjang.
Chengdu menjadi bandar terbaharu mengumumkan penutupan, berkata melalui notis rasmi penduduk wajib “duduk di rumah” mulai 6 petang Khamis untuk memerangi gelombang baharu jangkitan.
Setiap isi rumah akan dibenarkan menghantar seorang wakil untuk keluar membeli barangan runcit dan barangan keperluan setiap hari, dengan syarat mereka telah diuji negatif dalam tempoh 24 jam sebelumnya, menurut notis tersebut.
Ia berkata semua penduduk akan diuji untuk virus itu antara Khamis dan Ahad, menggesa mereka untuk tidak meninggalkan bandar melainkan “sangat mustahak”.
Chengdu merekodkan 157 jangkitan tempatan baharu pada Khamis, di mana 51 daripadanya tidak menunjukkan gejala, kata kerajaan bandar itu dalam notis berasingan. – AFP, 1 September, 2022.
Komen