PAS, Umno perlu bersama selamatkan 27 kerusi Parlimen, kata Tuan Ibrahim


Diyana Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tan Man berkata PAS dan Umno perlu kembali menghidupkan wadah kerjasama melalui Muafakat Nasional kerana hubungan mereka sebenarnya tidak pernah putus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2022.

PAS mesti bersama dengan Umno untuk menyelamatkan 27 kerusi yang berisiko dimenangi Pakatan Harapan, sekiranya dua parti Melayu itu bertembung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, PAS dan Umno perlu kembali menghidupkan wadah kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) kerana hubungan mereka sebenarnya tidak pernah putus.

“Saya nak tegaskan MN tak ada bubar… belum bubar, Umno tak isytihar bubar, PAS pun tak. Kita perlu kekalkan (MN) untuk kepentingan Islam dan negara.

“Tapi kalau terpaksa kita lawan (dengan Umno), kita lawan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS di Alor Setar, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, keputusan kerjasama PAS itu akan dimuktamadkan pada peringkat parti tidak lama lagi, dalam bulan ini juga.

“Kita tengok  hala tuju, sebulan itu kita nak jelaskan hala tuju. Jentera kita dah sedia, tapi kita nak tahu bagaimana dengan status 27 kerusi itu yang memerlukan rundingan dengan Barisan Nasional,” katanya. 

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menambah PAS akan mencalonkan 30% pemimpin muda untuk bertanding dalam PRU15.

Justeru itu beliau mahu sayap itu bersedia dari semua segi dan menunjukkan prestasi cemerlang.

“Saya lihat ada keperluan besar untuk Pemuda segera ambil alih kepimpinan parti. Dalam PRU sekurang- kurangnya 30 % peratus pemuda akan mewakili parti dalam PRU15,” katanya. – 1 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen