CHINA Mobile Pakistan, anak syarikat China Mobile Communications Corporation, dalam satu kenyataan semalam menawarkan minit panggilan percuma kepada penggunanya di kawasan yang dilanda banjir di Pakistan, lapor Xinhua.
Zong, jenama China Mobile Pakistan, berkata “Ia memahami masa sukar yang sedang dilalui negara dan kami berada di Islamabad untuk memastikan anda terus dapat berhubung dengan orang tersayang. Kami menawarkan minit percuma setiap hari untuk rakyat yang terjejas banjir”.
Syarikat selular China itu menawarkan bantuan berkenaan berikutan banjir kilat dan hujan monsun yang merosakkan lebih 1 juta rumah di Pakistan dan menjejaskan lebih 33 juta penduduk di seluruh negara.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara berkata sehingga pagi semalam, sekurang-kurangnya 1,191 orang terkorban dan 3,641 lagi dalam bencana musim tengkujuh yang bermula 14 Jun.
Terdahulu pada Selasa, bantuan kemanusiaan China untuk mangsa banjir tiba di Karachi, bandar pelabuhan selatan negara itu.
Berucap pada majlis penyerahan bantuan itu, Duta Besar China ke Pakistan Nong Rong berkata kerajaan China melahirkan rasa simpatinya kepada rakyat Pakistan yang terjejas akibat banjir. – Bernama, 1 September, 2022.
Komen