Laporan PBB, hak asasi etnik Uighur dicabul di Xinjiang


Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet bertekad memastikan laporan berkenaan etnik Uighur di Xinjiang, China yang ditahan dan diseksa, berjaya dikeluarkan. – Gambar EPA, 1 September, 2022.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan menggemparkan yang ditunggu-tunggu sekian lama, mendakwa berlaku pencabulan serius terhadap hak asasi manusia membabitkan etnik Uighur dan kumpulan lain yang kebanyakannya Muslim di wilayah Xinjiang, China.

Menurut laporan dikeluarkan di Geneva pada 11.47 malam tadi, tuduhan berhubung penyeksaan ke atas golongan terbabit adalah boleh dipercayai dan berkemungkinan berlaku jenayah kemanusiaan.

Laporan yang mengambil masa kira-kira setahun itu dikeluarkan hanya 13 minit sebelum Michelle Bachelet menamatkan penggal empat tahunnya sebagai pesuruhjaya tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia.

Bekas presiden Chile itu bertekad memastikan laporan itu siap dan diumumkan, meskipun berdepan tekanan hebat dari Beijing yang marah.

“Saya pernah berkata akan menerbitkannya sebelum mandat saya berakhir, dan kini saya lakukannya.

“Isu ini serius, dan saya membangkitkannya kepada pihak berkuasa atasan peringkat wilayah dan nasional di negara itu,” kata Bachelet.

China bertahun-tahun didakwa menahan lebih sejuta individu etnik Uighur dan minoriti Muslim lain di wilayah Xinjiang, malah dituduh melakukan pelbagai penderaan. Bagaimanapun, Beijing menolak sekeras-kerasnya tuduhan terbabit dengan mendakwa negara itu menggerakkan pusat latihan vokasional di Xinjiang dengan tujuan menentang keganasan.

Namun, Bachelet akhirnya memutuskan penilaian penuh perlu dilaksanakan terhadap situasi di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR) itu.

“Pencabulan hak asasi manusia yang serius dilakukan di XUAR dalam konteks penerapan strategi menentang keganasan dan ekstremisme oleh kerajaan,” menurut laporan itu.

Hasil penilaian juga menggariskan kebimbangan layanan terhadap tahanan dalam tempat yang dipanggil “Pusat Latihan dan Pendidikan Vokasional” di China itu.

“Tuduhan mengenai bentuk penyeksaan atau layanan buruk, termasuk rawatan perubatan secara paksaan dan keadaan penahanan yang teruk, adalah boleh dipercayai, malah begitu juga dengan dakwaan berhubung insiden keganasan seksual dan berasaskan jantina membabitkan individu.”

Laporan itu menggesa Beijing, PBB dan seluruh dunia supaya memberi tumpuan kepada situasi yang digambarkan di Xinjiang itu.

“Keadaan hak asasi manusia di XUAR juga memerlukan perhatian segera kerajaan, sistem hak asasi manusia dan badan antara kerajaan bawah PBB, serta komuniti antarabangsa secara lebih meluas,” menurut laporan terbabit.

Namun, laporan setebal 49 muka surat itu tiada merujuk genosid, iaitu antara tuduhan utama pengkritik China, termasuk Amerika Syarikat (AS) serta ahli Parlimen di negara Barat. – AFP, 1 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen