Muktamadkan segera agihan kerusi PRU15, gesa Pemuda PAS


Diyana Ibrahim

Pemuda PAS berkata pihaknya mahu panduan yang jelas berkaitan pembahagian kerusi dan calon PRU15 supaya dapat menghebahkannya kepada jentera petugas pilihan raya umum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2022.

PIMPINAN tertinggi PAS perlu memuktamadkan segera pembahagian kerusi dan senarai calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata sayap pemuda parti Islam.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata pihaknya mahu panduan yang jelas supaya dapat menghebahkannya kepada jentera petugas pilihan raya umum.

“Dengan pilihan raya sudah sangat hampir, PAS sudah tentu perlu memuktamadkan soal pembahagian kerusi dan penentuan calon.

“Biar jelas siapa yang boleh dihadap, siapa yang boleh dibuat kawan. Jangan nanti tabuh berbunyi, baru keris mahu diasap, baru tanjak mahu dicari.

“Gelanggang telah lama ditari oleh musuh, rentak dan gendang sudah lama beraksi. Anak muda kita sedang menunggu arahan pimpinan,” katanya dalam ucaptama membuka Muktamar Pemuda PAS di Alor Setar, hari ini.

Dalam ucapannya juga, Fadhli menegaskan Pemuda PAS menolak sama sekali kerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU15, sejajar dengan keputusan parti.

Awal minggu ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengumumkan parti Islam itu tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan PH atau mana-mana parti komponennya dalam PRU15.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS pada Isnin.

Mesyuarat turut memutuskan tiga negeri yang diterajui PAS tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sebelum Mac 2023. – 1 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen