Lelaki koma disengat ribuan lebah


Austin Bellamy, 20, koma sejak malam Selasa, selepas beliau secara tidak sengaja mengusik sarang lebah ketika memotong pokok untuk rakannya. – Gambar fail EPA, 1 September, 2022.

SEORANG pemuda di Ohio kini bertarung nyawa, koma dan diberikan alat bantuan pernafasan selepas disengat ribuan lebah beribu-ribu kali, menurut keluarganya dan media tempatan.

Austin Bellamy, 20, koma sejak malam Selasa, selepas beliau secara tidak sengaja mengusik sarang lebah ketika memotong pokok untuk rakannya, menurut laporan Fox 19.

Bellamy kini dirawat di hospital dan memerlukan alat bantuan pernafasan, kata ibunya, Shawna Carter pada laman web kutipan dana yang dilancarkan untuk membayar bil perubatan anaknya.

Pada Jumaat, Bellamy sedang memotong dahan sebatang pokok lemon ketika beliau tidak perasan terpotong sarang lebah Afrika dan disengat lebih 20,000 kali, menurut satu kenyataan.

“Lebah keluar ketika dia mula memotong dahan, dan dia cuba hendak turun dari pokok itu tetapi tidak boleh,” kata neneknya, Phyllis Edwards kepada Fox19.

Beberapa ahli keluarganya nampak insiden itu dari bawah pokok tetapi tidak dapat membantunya kerana mereka juga diserang lebah.

“Saya hendak cuba dan panjat tangga untuk mendapatkan Austin tetapi saya tidak dapat pergi kepadanya kerana saya dikelilingi lebah,” kata Edwards.

Carter berkata beliau dimaklumkan anaknya tertelan kira-kira 30 lebah dan doktor mengambil masa lebih sehari untuk mengeluarkannya.

Doktor bagaimanapun menjangkakan beliau akan pulih sepenuhnya, kata Carter. – AFP, 1 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen