Umno mahu kembalikan mandat rakyat, tiada agenda lain PRU awal, kata Razlan


Alfian Z.M. Tahir

Umno adalah parti politik paling lantang mendesak pilihan raya umum diadakan seberapa segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2022.

DESAKAN Umno supaya pilihan raya lebih awal diadakan kerana mahukan mandat dipulangkan kepada rakyat dan tiada agenda lain, kata Ahli Majlis Tertinggi Mohd Razlan Rafii.

Persoalan mengadakan pilihan raya awal ini dibantah ramai pemimpin pembangkang termasuklah Dr Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng yang mencadangkan kluster mahkamah Umno adalah golongan paling hebat memberi tekanan kepada perdana menteri bagi.

“Umno tidak menggesa pilihan raya lebih awal tetapi kita menuntut pilihan raya kerana kita perlu memberikan pilihan kepada rakyat. Mandat baharu diperlukan.

“Tambahan lagi, situasi sekarang sangat tidak stabil. Kita perlukan kerajaan yang stabil.

“Pertama-tamanya, Umno menerima kekalahan pada pilihan raya umum lepas tetapi sebab Muhyiddin (Yassin) mahu jadi PM, Langkah Sheraton berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketika ditanya sama ada Umno mahukan pilihan raya awal adalah kerana mahu menghentikan kes mahkamah melibatkan pemimpin kanannya, Razlan berkata tuduhan sebegitu tidak berasas sama sekali.

“Perdana menteri pun orang kita, mengapa dia tidak masuk campur dan hentikan kes.  Kita tidak masuk campur dan jika sekalipun kita menang pilihan raya, ia (masuk campur) tidak akan berlaku.”

Tambah Razlan, masa sekarang sangat tepat untuk mengadakan pilihan raya umum kerana situasi Covid-19 lebih stabil.

“Jadi sekarang kita dalam fasa endemik, mengapa kita tak boleh adakan pilihan raya? Situasi (Covid-19) sudah terkawal. Pendirian kita dalam perkara ini memang konsisten sejak hari pertama,” katanya.

Covid-19 sudah terkawal dan negara perlukan kerajaan yang stabil, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2022.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berdepan tekanan hebat daripada Umno untuk mengadakan pilihan raya seberapa segera berbanding menunggu tahun hadapan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan berkata yang jika pilihan raya diadakan lewat, ia akan menguatkan pembangkang dan menjejaskan peluang Barisan Nasional untuk menang.

Tetapi, Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno, sebelum ini berkata beliau hanya akan memanggil untuk pilihan raya diadakan apabila ekonomi sudah pulih.

Bagaimanapun, sejak beberapa hari lepas, beliau kerap memberi bayangan yang PRU akan diadakan tidak lama lagi.

Ismail Sabri dilantik untuk menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri tahun lepas apabila sekumpulan ahli Parlimen daripada Umno menarik balik sokongan mereka kepada ahli Parlimen Pagoh itu.

Penarikan sokongan itu berlaku apabila Muhyiddin yang juga presiden Bersatu enggan melantik timbalan perdana menteri daripada Umno selain dakwaan kerap mengetepikan parti Melayu itu dalam pelbagai perkara penting.

Muhyiddin Yassin sendiri berjanji mengadakan pilihan raya apabila imuniti kelompok mencapai 80 peratus, dakwa Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2022.

Menurut Razlan lagi, Umno tidak pernah bersetuju menyertai kerajaan Muhyiddin, bagaimanapun pandemik Covid-19 memaksa mereka mengutamakan keselamatan rakyat.

Tambahnya, Muhyiddin juga berjanji yang pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja negara mencapai tahap imuniti kelompok sebanyak 80%.

“Kami memang bersedia untuk tunggu, tapi Langkah Sheraton berlaku. Kami tiada pilihan selain bantu mengurangkan ketegangan disebabkan Covid-19.

“Sekarang benda (wabak) dah baik (terkawal), kami mahukan pilihan raya supaya negara boleh bergerak ke hadapan,” kata Razlan lagi.

Institusi kehakiman akan kekal bebas

Felo Kanan Nusantara Academy for Strategic Research (NASR) Azmi Hassan pula berkata Umno mempunyai sebab sahih mendesak pilihan raya diadakan lebih awal.

“Sebab untuk mempunyai kerajaan yang stabil ada benarnya. Terlalu banyak ketidakpastian sejak beberapa tahun lepas dan mengembalikan mandat (kepada rakyat) adalah pilihan terbaik.

“Tambahan pula, krisis kesihatan sudah terkawal, banyak sektor sekarang beroperasi seperti biasa. Tetapi memanglah, keputusan adalah hak PM,” katanya.

Semua pihak menantikan keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkaitan tarikh pilihan raya umum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2022.

Tambahnya, kerajaan baharu Umno selepas pilihan raya tidak akan mampu mempengaruhi institusi kehakiman supaya memihak kepada pemimpin parti.

“Saya percaya dengan sistem kehakiman kita. Siapa sahaja jadi kerajaan, sistem kehakiman kita akan kekal bebas.

“Saya tak fikir Umno boleh buat macam-macam untuk ubah perkara yang sudah berlaku.

“Risikonya terlalu besar untuk parti. Mereka akan mahu dilihat sebagai parti yang telus.” – 1 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen