Polis panggil Rafizi atas kenyataan berunsur fitnah terhadap Latiff


Alfian Z.M. Tahir

Pegawai Khas Latiff, Sayed Ahmad Mu’izzuddin Al-Sayed Mohamad berkata Rafizi Ramli tetap meneruskan tuduhannya walaupun menteri tersebut sudah menjelaskannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Ogos, 2022.

POLIS akan memanggil Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung kenyataan fitnahnya terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, bekas ahli parlimen itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2008 kerana menggunakan rangkaian secara salah selepas laporan dibuat pembantu menteri berkenaan.

“Rafizi akan dipanggil tidak lama lagi untuk merekodkan kenyataannya bagi membantu siasatan,” kata Beh dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, pembantu Latiff membuat laporan polis terhadap Rafizi selepas bekas ahli Parlimen Pandan itu membuat beberapa komen mengaitkan isteri Latiff dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Rafizi juga aktif memuat naik catatan di Facebook dan Twitter mengenai bagaimana skandal itu berlaku.

Beliau turut menamakan Zainab Mohd Salleh, seorang wanita yang dikatakan isteri kedua Latiff – dan individu yang menyalahgunakan dana daripada projek LCS.

Latiff menafikan beliau mengenali wanita itu serta mengatakan Zainab bukan pasangannya.

Menurut Malaysiakini, pegawai khas Latiff, Sayed Ahmad Mu’izzuddin Al-Sayed Mohamad berkata Rafizi tetap meneruskan tuduhannya walaupun menteri sudah menjelaskannya.

Antara lain, Sayed mengulangi dakwaan menteri yang Rafizi mengelirukan orang ramai dengan memetik draf laporan audit forensik bagi menyokong tuduhannya.

Syed berkata, Rafizi tidak mengendahkan penafian yang terkandung dalam laporan audit tersebut yang menyatakan juruaudit tidak dapat menilai kebenaran tuntutan dibuat individu yang terlibat dalam projek itu. – 31 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen