China selamatkan 150 kucing daripada jadi hidangan


Menurut Humane Society International (HSI), semua kucing ditempatkan ke dalam sangkar berkarat ketika serbuan dijalankan di bandar Jinan, wilayah Shandong. – Gambar AFP, 31 Ogos, 2022.

HAMPIR 150 ekor kucing berjaya diselamatkan polis daripada menjadi hidangan dalam satu serbuan terhadap pusat penyembelihan di timur China, menurut pertubuhan kebajikan haiwan antarabangsa.

Menurut Humane Society International (HSI) dalam satu kenyataan, semua haiwan itu ditempatkan ke dalam sangkar berkarat ketika serbuan dijalankan di bandar Jinan, wilayah Shandong.

Sekumpulan individu dipercayai meletakkan burung pipit dalam sangkar sebagai umpan dan menggunakan alat kawalan jauh untuk menutup perangkap sebaik sahaja setiap kucing itu masuk, kata aktivis kumpulan hak asasi haiwan tempatan VShine.

“Sungguh mengejutkan melihat keadaan kucing itu, Kebanyakannya kurus kering dan menangis,” kata aktivis yang hanya mahu dikenali sebagai Huang, dalam satu kenyataan kepada HSI.

“Penemuan kami terhadap berpuluh-puluh burung pipit hidup yang digunakan sebagai umpan untuk memikat kucing juga satu kejutan besar.”

Kebanyakan kucing yang diselamatkan dipercayai haiwan peliharaan rumah dan dihantar ke pusat perlindungan haiwan tempatan, tambah kenyataan itu.

Aktivis juga menemui 31 burung pipit – spesies yang dilindungi di China – di tempat kejadian dan melepaskannya keluar.

China tidak mempunyai undang-undang pencegahan kekejaman haiwan, tetapi suspek mungkin berdepan hukuman kerana memburu burung, mencuri harta benda dan melanggar peraturan pencegahan wabak haiwan.

Kira-kira 10 juta anjing dan empat juta kucing dibunuh untuk hidangan manusia setiap tahun di China, menurut HSI.

Daging anjing dan kucing dianggap sebagai makanan istimewa di beberapa bahagian di China dan perdagangan daging haiwan tersebut tetap cukup menguntungkan sekali gus mendorong kumpulan penjenayah mencuri haiwan peliharaan, walaupun tabiat itu menyaksikan penurunan yang berterusan apabila pemilikan haiwan peliharaan meningkat. – 31 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen