SEEKOR ikan lumba-lumba yang ditemui terdampar di pantai Sweden pada Jun lalu disahkan mati akibat virus selesema burung.
Menurut Institut Veterinar Kebangsaan Sweden, ini adalah kes pertama virus itu dikesan pada seekor ikan lumba-lumba.
“Setahu kami ini adalah kes pertama di dunia, virus selesema burung disahkan pada ikan lumba-lumba,” kata doktor haiwan Elina Thorsson dalam satu kenyataan.
“Kemungkinan ikan lumba-lumba itu bersentuhan dengan burung yang dijangkiti tidak dapat dikenal pati,” katanya.
Ikan lumba-lumba jantan itu ditemui terdampar di pantai di barat Sweden pada akhir Jun.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan orang ramai untuk membawanya berenang ke laut dalam, namun mamalia laut itu dilihat mengalami keletihan dan mati pada petang yang sama.
Virus selesema burung, H5N1 dikesan pada beberapa organnya.
“Berbanding anjing laut, di mana penyakit yang disebabkan virus selesema dikesan beberapa kali, terdapat hanya segelintir laporan virus selesema dalam mamalia laut”, kata Thorsson.
Menurut penyelidik institut itu, virus itu sebelum ini juga dikesan dalam mamalia lain termasuk musang merah, memerang, kucing liar dan skunk.
Eropah dan Amerika Utara sedang menyaksikan penularan besar-besaran wabak selesema burung di kalangan burung liar. – 31 Ogos, 2022.
Komen