POLIS sedang menyiasat lima kes melibatkan mata wang digital, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
Fuzi tidak mendedahkan kerugian yang ditanggung oleh mangsa atau butiran lain tetapi berkata polis meningkatkan kemahiran mereka untuk menangani jenayah siber dan kes-kes yang melibatkan mata wang kripto.
“Pengarah Jabatan Jenayah Komersial, Amar Singh Ishar Singh sedang menghantar orangnya berkursus untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam menyiasat jenayah siber.”
Sementara itu, Amar Singh berkata polis sedang bekerjasama dengan Bank Negara mengenai kes tersebut.
“Kami juga akan mengadakan kursus dengan Bank Negara untuk memahami dengan lebih baik bagaimana jenayah itu berfungsi dan cara menanganinya. Ia adalah jenayah baru,” kata Amar.
Beliau menambah setakat ini, kes-kes yang dilaporkan melibatkan penggodaman dan penipuan dalam pembelian mata wang digital.
Mata wang kripto diperoleh dengan menggunakan algoritma kompleks melalui komputer, dan sesetengah orang kemudian berdagang mata wang ini untuk mendapatkan wang sebenar.
Mata wang sedemikian semakin popular beberapa tahun kebelakangan ini dan perdagangan spekulatif beberapa bulan lalu menyaksikan nilainya mencecah sehingga AS$20,000 (RM78,000). Mata wang digital paling popular adalah bitcoin.
Menurut The Star, terdapat empat pedagang kripto yang beroperasi di Malaysia, termasuk Luno dan Pinkexc yang berpusat di London.
Anggaran konservatif meletakkan purata urus niaga bulanan bitcoin dan mata wang digital lain di Malaysia sekitar RM75 juta. – 26 Februari, 2018.
Komen