PELANCONG akan boleh melawat Jepun bermula minggu depan melalui pakej pelancongan tanpa pemandu pelancong, kata Perdana Menteri Fumio Kishida hari ini, ketika negara it uterus melonggarkan sekatan Covid-19.
Bermula 7 September, Jepun juga akan menambah had jumlah orang dibenarkan memasuki negara itu kepada 50,000, kata Kishida kepada wartawan.
Jepun melaksanakan sekatan ketat di sempadan yang lebih lama berbanding kuasa besar ekonomi lain, dan hanya pada Jun membenarkan pelancong kembali masuk dengan syarat mereka menyertai pakej disertai pemandu pelancong.
“Ketika perdagangan antarabangsa seluruh dunia menjadi lebih aktif, Jepun akan menyertai gerakan ini, juga untuk mengambil peluang daripada kejatuhan mata wang yen,” katanya yang juga baharu pulih daripada Covid-19.
Bermula tarikh itu, “kami juga akan memungkinkan kemasukan pelancong daripada semua negara untuk memasuki negara (Jepun) melalui pakej lawatan tanpa pemandu pelancong, dan akan memastikan kelancaran kemasukan di lapangan terbang,” tambahnya.
Tetapi langkah itu masih lagi memerlukan pelancong untuk menempah lawatan mereka menerusi ejen dan mendapatkan visa.
Syarikat penyiaran awam NHK dan media tempatan lain turut melaporkan yang pelancong dihendaki mematuhi garis panduan pengasingan jika mereka disahkan positif Covid-19 di Jepun.
Kishida berkata beliau berharap untuk terus melonggarkan sekatan sempatan, dengan pegawai industri masih menunggu kebenaran lawatan tanpa visa untuk pelancong daripada kebanyakan negara.
Di akhirnya, Jepun berharap dapat “memastikan kelancaran kemasukan” selaras dengan negara Kumpulan Tujuh yang lain, tambahnya lagi.
Negara itu mengenakan sekatan ketat kawalan wabak dan hanya merekodkan angka korban sekitar 39,000, jauh lebih rendah berbanding banyak negara di dunia.
Sekitar 64% penduduk negara itu dan lebih 90% warga emas atas 65 tahun sudah menerima tiga dos vaksin.
Tetapi negara itu terus mengekalkan sekatan ketat sempadan sepanjang pandemik, menghalang kemasukan semula penduduk asing selama beberapa bulan pada kemuncak gelombang pertama wabak.
Kumpulan pelancongan dibenarkan masuk bermula Jun, dengan sekitar 144,500 warga asing melawat Jepun pada Julai, menurut Organisasi Pelancongan Nasional Jepun.
Negara itu menerima 31.9 juta kemasukan pelawat asing pada 2019, tidak jauh daripada mencapai sasaran 40 juta pada 2020 apabila pandemik melanda dunia. – AFP, 31 Ogos, 2022.
Komen