Vietnam bebaskan 2,500 banduan sempena hari merdeka


2,500 banduan diampun dan dibebaskan di Vietnam menjelang sambutan hari merdeka tahun ini. – Gambar AFP, 31 Ogos, 2022.

VIETNAM hari ini mengumumkan yang ia akan membebaskan hampir 2,500 banduan menjelang ulang tahun kemerdekaan negara itu, tetapi jumlah itu lebih kecil berbanding tahun sebelumnya dan tidak termasuk aktivis.

Mereka yang dipenjarakan kerana kesalahan “propaganda” terhadap negara atau cubaan menjatuhkan rejim komunis- dakwaan yang selalu digunakan kepada aktivis- tidak akan dibebaskan, menurut pengumuman rasmi pengampunan itu.

Pengampunan massa itu adalah yang terkecil sejak beberapa tahun lepas disebabkan “peraturan ketat” pengampunan, kata Timbalan Pengerusi Pejabat Presiden Pham Thanh Ha.

Pada 2015, lebih 18,000 banduan dibebaskan dan tahun lepas jumlahnya adalah 3,000 orang. Negara itu jarang sekali mengampun dan membebaskan aktivis.

Enam belas warga asing – dari Australia, Perancis, Nigeria, Laos, China, Kanada, Kemboja, AS dan Malaysia- antara mereka yang akan dibebaskan pada Khamis. Kemerdekaan Vietnam disambut pada Jumaat.

Sekitar 750 warga asing sedang menjalani hukuman penjara di Vietnam, menuru data Kementerian Keselamatan Awam.

Pemerhati Hak Asasi berkata lebih 150 tahanan politik dipenjara setakat Mac tahun ini, dan Vietnam mempunyai reputasi mengenakan hukuman berat kepada pengkritik dan pembantah kerajaan.

Sejak beberapa tahun lepas, pentadbiran berusaha keras mendiamkan pengkritik dan pembantah terutama mereka yang aktif di media sosial.

Negara Asia Tenggara itu mengharamkan semua media bebas dan berada di kedudukan 174 daripada 180 buah negara dalam Indeks Kebebasan Media Wartawan Tanpa Sempadan 2022. – AFP, 31 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen