PASUKAN pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam perjalanan ke loji nuklear Zaporizhzhia yang ditawan Rusia di selatan Ukraine, kata pengarah agensi pemantau nuklear PBB itu hari ini.
“Kami akhirnya bergerak selepas berusaha selama enam bulan. IAEA sedang menuju ke loji kuasa nuklear Zaporizhzhia,” kata Ketua IAEA Rafael Grossi kepada wartawan di Kyiv sebelum perjalanan mereka.
“Saya sangat menyedari kepentingan perkara ini tetapi kami bersedia. IAEA bersedia. Kami akan membuat laporan selepas misi tamat. Kami akan habiskan masa beberapa hari di sana,” tambahnya.
Loji nuklear adalah loji terbesar di Eropah, ditawan tentera Rusia pada Mac tidak lama selepas Moscow menceroboh Ukraine.
Ukraine menuduh Rusia menghantar tentera dan menyimpan senjata api dan kenderaa berperisai di sana.
Rusia dan Ukraine masing-masing menyalahkan satu sama lain dalam kejadian serangan di sekitar loji yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
Ukraine menjadi kawasan tragedi letupan nuklear terburuk dunia pada 1986, apabila reactor Chernobyl meletup dan membebaskan radiasi ke udara.
Sebelum ini, Ukraine bimbang yang lawatan IAEA ke Zaporizhzhia akan mengesahkan penaklukan Rusia di loji itu, tetapi akhirnya mengalah membenarkan misi diteruskan.
Tetapi Ukraine menegaskan yang misi itu perlu bertolak dari kawasan jajahan Ukraine.
Dalam pertemuan dengan Grossi pada Selasa, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata beliau “sangat berterima kasih” atas lawatan itu dan memberi amaran yang situasi loji “sangat merbahaya”. – AFP, 31 Ogos, 2022.
Komen