MIKHAIL Gorbachev, pemimpin terakhir Kesatuan Soviet meninggal dunia di Moscow pada usia 91 tahun, lapor agensi berita Rusia pada Selasa.
“Mikhail Sergeevich Gorbachev meninggal dunia petang ini selepas sakit sejak sekian lama,” kata Hospital Klinikal Pusat di Moscow, dipetik oleh agensi berita Interfax, TASS dan RIA Novosti.
Gorbachev yang berkuasa antara 1985 dan 1991 dan membantu memulihkan hubungan Amerika Syarikat (AS)-Soviet adalah pemimpin terakhir Perang Dingin yang masih hidup.
Beliau menghabiskan sebahagian besar daripada dua dekad terakhir di politik pinggiran, pernah menyeru Kremlin dan White House membaiki hubungan ketika ketegangan meningkat ke tahap Perang Dingin sejak Rusia menguasai Crimea pada 2014 dan melancarkan serangan di Ukraine awal tahun ini.
Gorbachev menghabiskan sisa hidupnya keluar masuk hospital dengan kesihatan yang semakin uzur dan menjalani kuarantin kendiri semasa pandemik sebagai langkah berjaga-jaga terhadap koronavirus.
Gorbachev disenangi di Barat, yang dikenali dengan panggilan Gorby dan terkenal kerana meredakan ketegangan nuklear AS-Soviet pada 1980-an serta membawa Eropah Timur keluar dari belakang Tirai Besi.
Beliau memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada 1990 kerana usaha rundingan pakatan senjata nuklear bersejarah dengan pemimpin AS Ronald Reagan dan keputusannya menahan tentera Soviet apabila Tembok Berlin runtuh setahun sebelumnya dilihat sebagai kunci untuk memelihara keamanan Perang Dingin. – AFP, 31 Ogos, 2022.
Komen