TELETON iaitu siaran khas di televisyen bertujuan mengutip derma bagi membantu mangsa banjir anjuran bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan pada malam Isnin berjaya mengumpul lima bilion rupee (kira-kira AS$ 22.7 juta) dalam tempoh tiga jam.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pakistan, terutamanya yang berada di luar negara, kerana bermurah hati malam tadi.
“Dalam tempoh tiga jam teleton, kami telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak Rs 5 bilion,” kata Imran pada Selasa.
Rakyat Pakistan yang tinggal di Malaysia antara yang menghulurkan sumbangan membantu mangsa banjir akibat hujan monsun.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan bantuan kilat sebanyak AS$160 juta bagi memenuhi keperluan golongan paling terjejas di Pakistan.
“Pakistan kini menderita. Rakyat Pakistan menghadapi musim tengkujuh yang getir- sehingga mengakibatkan hujan dan banjir berterusan,” kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam videonya.
“Berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal, sekolah dan kemudahan kesihatan turut musnah, mata pencarian terjejas, infrastruktur penting, rumah serta impian rakyat turut hilang,” kata Guterres.
Kejadian banjir itu menyebabkan kerugian yang dianggarkan bernilai AS$10 bilion. – Bernama, 31 Ogos, 2022.
Komen