Rosmah sekali lagi gagal singkir Sri Ram ketuai pendakwaan kes solar


Ravin Palanisamy

Cubaan Rosmah Mansor untuk menggugurkan Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya sekali lagi gagal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2022.

PERMOHONAN Rosmah Mansor untuk menggugurkan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya sekali lagi gagal.

Ia susulan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Kamal Md Shahid hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan isteri bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Rosmah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 24 Jun lalu.

Dalam permohonannya, Rosmah memohon supaya surat pelantikan (fiat) Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan diisytiharkan tidak sah.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan perbicaraan kes solarnya terbatal dan tidak sah, serta perintah penangguhan untuk prosiding solar sehingga pelupusan semakan kehakiman.

Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini bermakna mahkamah sivil tidak akan mendengar merit semakan kehakiman Rosmah untuk mengugurkan Sri Ram.

Dalam kes semakan kehakiman, kebenaran perlu diberikan untuk merit kes didengar.

Dengan keputusan hari ini juga, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memberikan keputusan berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion pada Khamis ini (1 September), seperti yang telah ditetapkan. 

Keputusan akan disampaikan hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan.

Pada Khamis ini, Hakim Zaini akan memutuskan sama ada Rosmah disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak. – 30 Ogos, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen