SEKURANG-kurangnya tujuh penerbangan terpaksa dilencongkan dari Lapangan Terbang Adolfo-Suarez-Barajas Madrid pada Isnin disebabkan kehadiran dron di kawasan lapangan terbang itu.
Pengendali lapangan terbang Sepanyol, syarikat AENA mengumumkan masalah itu di akaun Twitternya, menjelaskan bahawa syarikat itu dan pihak berkuasa “bekerjasama untuk melancarkan semula operasi.”
“Ketibaan pesawat dibatalkan buat masa ini, tujuh penerbangan pula dilencongkan ke lapangan terbang lain,” tambah AENA.
Pengendali dron profesional Alberto Peinado memberitahu Xinhua bahawa dron tidak dibenarkan beroperasi dalam jarak 15 km dari lapangan terbang Madrid tanpa kebenaran khas daripada Kementerian Dalam Negeri Sepanyol dan AENA, dan perlu berkomunikasi terlebih dahulu dengan menara kawalan lapangan terbang.
Permohonan perlu dibuat dalam tempoh 10 hari bekerja sebelum operasi. Mereka yang melanggar peraturan itu akan didenda antara €3,000 dan €300,000 (AS$3,000 dan AS$300,000), atau hukuman penjara jika pengendali dron dianggap telah membahayakan nyawa.
Pengembara di Sepanyol juga mengalami kesukaran pada Isnin, berikutan mogok oleh kru kabin syarikat penerbangan tambang murah Ryanair, Iberia Express dan juruterbang EasyJet.
Dalam kes Ryanair dan Iberia Express, kru menuntut persekitaran kerja yang lebih baik manakala juruterbang Easyjet mahukan peraturan kerja kembali seperti sebelum pandemik. Mogok itu menyebabkan 14 penerbangan (10 dari Madrid) dibatal dan 28 penerbangan ditangguhkan pada Isnin. – Bernama, 30 Ogos, 2022.
Komen