Konsul Jerman di Brazil dituduh bunuh pasangan


SEORANG konsul Jerman didakwa membunuh pasangan sejenisnya di Rio de Janeiro, meninggalkan Brazil dan kembali ke Jerman, kata mahkamah yang mengarahkan namanya diletakkan dalam senarai Interpol orang melarikan diri.

Majistret memerintahkan Uwe Herbert Hahn dimasukkan dalam pangkalan data individu melarikan diri dikendalikan organisasi polis antarbaangsa itu.

Perintah itu berdasarkan kepada fakta tertuduh keluar dari Brazil pada Ahad untuk ke Jerman.

Hahn ditahan pada 6 Ogos kerana disyaki membunuh pasangannya itu di rumah mereka, dan kemudian cuba menutup jenayah itu.

Tertuduh memberitahu pihak berkuasa, mangsa yang juga seorang warga Belgium Walter Henri Maximilien Biot, sakit pada malam sebelumnya sebelum pengsan dan cedera di kepala kerana terjatuh.

Tetapi pemeriksaan mayat itu dan di pangsapuri pasangan itu di kawasan mewah di Ipanema mendapati Biot dipukul dengan teruk, kata polis.

Laporan media tempatan berkata Hahn, yang berkahwin dengan Biot selama 20 tahun cuba membersihkan tempat kejadian sebelum polis tiba dan memberitahu polis Biot minum arak dengan banyak dan mengambil ubat tidur.

Hahn ditahan tetapi hakim membebaskannya minggu lalu selepas tamat tarikh tawaran membuat laporan oleh pendakwa raya.

Beliau dibenarkan mengambil pasportnya dan terus ke Jerman pada Ahad.

Pejabat Pendakwa Raya kemudian mendakwanya atas tuduhan membunuh semalam. – AFP, 30 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen