RUSSIA sedang bergelut untuk mencari lebih ramai anggota tenteranya untuk bertempur di Ukraine, sekali gus membantutkan usaha memperluaskan kuasa di negara itu.
Difahamkan, tentera Russia kini mula merekrut banduan dan anggota baharu lebih tua, lemah dan kurang latihan, menurut pegawai kanan pertahanan Amerika Syarikat (AS) semalam.
Reaksi itu susulan arahan Presiden Russia Vladimir Putin untuk menambah bilangan tenteranya sebanyak 10% kepada 1.15 juta anggota, mulai Januari tahun depan.
Pegawai AS itu berkata Moscow mengalami kemerosotan ketara dan kehilangan tentera dalam jumlah besar sepanjang tempoh enam bulan selepas menyerang Ukraine.
Pentagon percaya usaha ini tidak mungkin berjaya, kerana Russia daripada segi sejarah tidak akan dapat memenuhi sasaran kakitangan dan kekuatannya.
“Russia cuba mula mengembangkan usaha pengambilan tentera. Mereka sudah melaksanakannya dengan menghapuskan had umur bagi rekrut baru selain merekrut banduan.
“Kebanyakan rekrut baru lebih tua, tidak sihat dan tidak terlatih,” kata pegawai terbabit.
Beliau berkata Pentagon membuat kesimpulan rekrut terbaru ini mungkin tidak meletakkan kemampuan kepada Russia dalam mengembangkan kuasa tempur yang berkesan menjelang akhir tahun ini.
Malah sebelum perang katanya, kekuatan tentera Russia mungkin kurang 150,000 anggota, lebih kecil daripada matlamat mereka untuk mengumpulkan sejuta anggota.
Pada awal Ogos, Setiausaha Pertahanan AS Colin Kahl menganggarkan 70,000 hingga 80,000 rakyat Russia terbunuh atau cedera di Ukraine sejak pencerobohan pada 24 Februari lalu. – AFP, 30 Ogos, 2022.
Komen