PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Islamabad akan lancar rayuan rasmi hari ini memohon dana AS$160 juta bantuan kecemasan untuk Pakistan yang dilanda banjir paling teruk dalam tempoh sedekad.
Pihak berkuasa Pakistan berkata lebih 1,100 mangsa maut sejak Jun ketika musim hujan bermula, tetapi jumlah sebenar mungkin lebih ramai. Banjir tahun ini menjejaskan lebih 33 juta penduduk – nisbahnya seorang bagi setiap tujuh penduduk.
“Situasi dijangka bertambah teruk dengan hujan masih berterusan,” kata jurucakap setiausaha agung PBB Stephane Dujarric.
“Kami bersama kerajaan Pakistan bercadang memohon AS$160 juta bagi aktiviti bantuan segera,” katanya.
PBB sudah menggerakkan kira-kira AS$7 juta, memberikan bantuan kepada mereka yang terdesak dan sangat memerlukan termasuk makanan, air, bekalan ubat dan tempat perlindungan. – AFP, 30 Ogos, 2022.
Komen