SETIAP kali Amin melangkah keluar dari rumah kayunya di sebuah kampung di utara Malaysia, semua mata memandangnya. Penduduk kampung berbisik-bisik bercakap di belakangnya.
Kerana terlalu jarang bagi mereka untuk melihat seseorang dengan peranti pemantauan elektronik (EMD) terpasang di pergelangan kakinya.
Itulah akibat yang perlu ditanggung Amin, 32, atas pembabitannya dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS).
Bapa kepada dua anak perempuan yang masih kecil itu terpaksa mengakui bahawa tanggapan umum adalah perjuangan sebenar yang perlu dilawan pada masa ini demi anak-anaknya dan isteri.
“Saya boleh telan persepsi negatif masyarakat, orang di sekeliling saya. Ia pahit tetapi saya boleh tahan.
“Tetapi untuk isteri saya, banyak kali dia balik ke rumah dari kedai menangis sebab tidak tahan orang tanya dia apa yang saya sudah buat,” kata Amin (bukan nama sebenar) kepada The Malaysian Insight. Polis meminta supaya identiti Amin tidak didedahkan.
Amin dijatuhi hukuman tahanan dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selepas didapati bersalah terbabit dalam aktiviti IS. Di bawah POCA, Amin hidup dalam buangan bersama keluarganya dan berada di bawah pemantauan polis.
EMD yang dipasang di kakinya bertujuan untuk memantau pergerakannya. Dia juga perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap minggu. Dia adalah antara 2,000 pesalah yang dipasang EMD. Daripada jumlah itu, 22 daripadanya didakwa atas kesalahan terbabit dengan aktiviti berkaitan pengganas.
Sebaik saja dipasang alat itu, mereka akan dipantau oleh polis 24 jam sehari.
Amin berkata itu hanya halangan kecil yang perlu dihadapi berbanding dengan peluang kedua untuknya membina semula kehidupan.
Dia ditahan pada 2014 selepas siasatan polis mendedahkan dia mahu menyertai peperangan IS di Syria. Dia tidak dapat pergi kerana tidak mampu membayar tambang pesawat.
Kemiskinan menghimpit hingga membawanya pada IS
Sebelum itu, Amin hidup dalam kesempitan sebagai pemandu lori dan membuat keputusan pulang ke kampungnya bersama isteri dan anak-anak.

Dia meminjam wang daripada adik beradik untuk membeli lampin pakai buang dan susu untuk anak. Dia buat pelbagai kerja rencam di kampung tetapi apa yang diperoleh kadang-kala tidak cukup untuk membeli makanan buat keluarganya.
Jadi, apabila dia tahu mengenai IS dan tawaran kewangan untuk menyertai perjuangan mereka di Syria, dia mula berminat.
Dia diperkenalkan kali pertama kepada IS oleh seorang guru agama di kampungnya.
“Saya fikir itu rancangan Tuhan untuk saya sebagai ganjaran susahnya hidup yang saya alami,” katanya.
Guru agama itu berkongsi video dengan Amin, menunjukkan kekejaman yang terpaksa dihadapi umat Islam di Syria.
“Jenayah berlaku terhadap wanita dan kanak-kanak. Saya dipenuhi rasa benci dan marah. Saya rasa bersemangat dan merasakan kami perlu melawan balik,” katanya.
Malah, Amin mengakui ada satu ketika dia sampaikan jadi benci kepada sesetengah umat Islam dan bukan Islam di negara ini.
“Saya antara yang terawal terbabit dengan IS. Pada masa itu kami panggil mereka ISIS (The Islamic State of Iraq and Syria).
“Kami tidak diminta memilih senjata. Kami dipersiapkan secara mental untuk menyertai perjuangan di Syria dan ia dibuat secara santai ketika berbual-bual selepas kelas agama,” kata Amin.
Katanya, ganjaran yang ditawarkan untuk menyertai IS juga sangat menggoda.
Dia diberitahu oleh guru agama itu yang IS membayar setiap individu sebagai AS$300 (RM1175) dan tambahan AS$100 (RM391) bagi setiap anak sebagai elaun penjagaan anak.
Amin terpaksa mencari wang untuk membeli tiket kapal terbang ke Syria untuknya dan keluarga, dan itu yang menghalangnya daripada menyertai perjuangan itu.
Bagaimanapun, dia tahu akan berdepan masalah dengan pihak berkuasa kerana menjadi ahli IS dan apabila dia ditangkap, dia nampak polis ada fail yang tebal tentang dirinya.
“Saya tidak ada akaun Facebook atau media sosial, dan tetap juga mereka tahu semuanya tentang pembabitan saya dalam IS.
“Saya tidak boleh sembunyi apa-apa. Saya beritahu saja dan dijatuhi hukuman dua tahun di bawah POCA.”
Amin kini bekerja sebagai jurukimpal di sebuah bengkel berhampiran rumahnya dengan pendapatan RM50-RM60 sehari. Cukup untuk belanja keluarganya. Dia dapat hidup dengan baik, lebih baik berbanding ketika mula-mula dibebaskan daripada tahanan hampir dua tahun lalu.
Perjuangan terbesarnya sekarang ialah memerangi tanggapan negatif.
“
“Saya dianggap orang yang terpesong daripada agama.
“Saya dinasihatkan untuk menjelaskan keadaan saya kepada masyarakat. Tetapi bila saya buat begitu dan minta mereka bantu saya untuk jadi orang yang lebih baik, mereka hanya angguk kepala dan berlalu pergi.”
Amin ialah antara 372 individu yang ditahan sejak 2013 kerana terbabit dalam IS. Seramai 66 orang daripada mereka dibebaskan setakat ini. – 26 Februari, 2018.
Komen