UMNO mesti merampas semula Terengganu daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau berdepan nasib terlepas negeri itu untuk suatu tempoh yang lama, seperti Kelantan yang dikuasai parti Islam itu lebih tiga dekad, kata pemimpin parti negeri.
Sumber parti bagaimanapun mengakui laluan Umno sukar, berdasarkan laporan awal Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) negeri.
“Laporan Wanita BN menunjukkan peluang Umno menang di Terengganu hanya 50-50 sahaja.
“Biarpun pada PRU14, terdapat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang PAS menang bawah majoriti 3,000 undi tapi ia masih tidak memihak kepada Umno,” kata sumber yang tidak mahu dinamakan kepada The Malaysian Insight.
Sumber yang terlibat dalam persiapan menghadapi PRU15 berkata Umno masih dilihat sukar untuk menang di beberapa kerusi antaranya Parlimen Kemaman dan dua kerusi negeri Bukit Payong dan Jabi.
Pada PRU14, PAS menyingkirkan Umno di Terengganu selepas menang 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri. Tujuh daripada kerusi bagaimanapun dimenangi dengan majoriti tipis antara Jabi (55 undi), Ladang (363), Pengkalan Berangan (490), Kuala Berang (1,070), Ajil (4), Air Putih (746).
Di peringkat Parlimen, PAS menang enam manakala selebihnya – Hulu Terengganu dan Besut – dimenangi BN. Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid kemudian melompat parti keluar Umno untuk menyertai Bersatu pada Disember 2019.
Sebelum ini, setiausaha BN negeri Rozi Mamat yakin BN mampu menang 12 kerusi DUN yang dimenangi oleh PAS bawah majoriti 3,000 undi. BN juga boleh menang lima kerusi Parlimen iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu, selain mengekalkan Besut.
Sumber juga berkata pihak Umno negeri sudah berbincang dua minggu lalu dengan pengarah pilihan raya parti Mohamad Hasan, yang juga timbalan presiden, strategi yang akan diambil untuk meningkatkan peluang menang pada PRU15.
Antara yang dibincangkan ialah usaha untuk memahami sentimen pengundi baharu, susulan pendaftaran automatik pengundi yang belum berdaftar dan had umur layak mengundi 18 tahun.
“Bagi Terengganu, pengundi umur 18 tahun ini tidak ramai tapi yang menjadi kebimbangan ialah pengundi baharu yang pertama kali mengundi maksudnya yang berumur lebih 21 tahun dan tidak mengundi semasa PRU14.
“Kategori ini yang kita bimbang kerana Umno tidak dapat ramal sentimen mereka,” katanya.
Sehingga April 2022, pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun di Terengganu bertambah lebih kurang 51,000 orang sementara yang berumur antara 21 hingga 30 tahun bertambah hampir 246,000 orang.

Mengenai pembahagian kerusi, sumber memberitahu pihak ibu pejabat parti negeri sudah menerima senarai cadangan daripada setiap bahagian dan sedang disaring untuk diangkat bagi persetujuan presiden Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu Ketua Penerangan Umno Terengganu Nik Dir Nik Wan Ku mengakui pentingnya untuk Umno merampas semula Terengganu jika tidak mahu mengulangi nasib seperti di Kelantan.
Katanya, kemenangan itu tidak mustahil dicapai kerana prestasi PAS yang tidak cemerlang.
Beliau memberi alasan tindakan pentadbiran PAS memotong dana kepada rakyat selain tidak membawa pembangunan baharu melainkan hanya meneruskan projek BN saja.
“Wakil rakyat yang ada sekarang ini pun, dulu pakai jubah, kopiah, serban… sekarang tanggal jubah pakai kot, tukar kereta… rumah dulu tak ada kolam renang, sekarang dah ada.
“Jadi mana Islamnya PAS ini, semua orang tahu tentang Islam… bukan (presiden PAS) Abdul Hadi Awang saja yang tahu,” katanya.
Bekas calon BN di kerusi Parlimen Marang itu juga mendakwa pengaruh presiden PAS itu semakin merosot.
“Kalau tak percaya pergi sendiri ke Masjid Rusila setiap Jumaat, tengok berapa yang ada. Kalau dulu boleh beribu tapi sekarang hanya 400-500 orang saja,” katanya. – 1 September, 2022.
Komen