RUSIA sedang bergelut untuk mencari lebih ramai askar untuk bertempur di Ukraine, malah ramai rekrut baharu adalah lebih tua, lemah dan kurang latihan, kata seorang pegawai kanan pertahanan Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Pegawai itu berkata demikian susulan arahan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis lepas untuk menambah jumlah anggota tenteranya itu kira-kira 10 peratus atau 1.15 juta askar, mulai Januari tahun depan.
Selepas mengalami kemunduran yang ketara dan kehilangan tentera yang besar dalam tempoh enam bulan selepas menyerang Ukraine, Pentagon percaya “usaha ini tidak mungkin berjaya, kerana Rusia dari segi sejarah tidak memenuhi sasaran anggota dan kekuatan,” kata pegawai itu.
“Rusia sudah mula cuba mengembangkan usaha pengambilan,” kata pegawai yang tidak mahu namanya disiarkan kepada wartawan.
“Mereka buat dengan menghapuskan had umur untuk rekrut baharu, dan juga dengan merekrut banduan,” kata pegawai itu.
“Ramai daripada rekrut baru ini telah diperhatikan sebagai lebih tua, tidak sihat dan tidak terlatih,” kata pegawai itu.
Kesimpulan Pentagon ialah mana-mana lagi rekrut yang ditambah mungkin tidak dapat mengembangkan kuasa tempur keseluruhan secara berkesan menjelang akhir tahun ini, menurut pegawai itu.
Malah sebelum perang, angkatan tentera Rusia mungkin kurang 150,000 daripada matlamat mereka yang dinyatakan iaitu satu juta, kata pegawai itu.
Pada awal Ogos, Setiausaha Pertahanan AS Colin Kahl menganggarkan sebanyak 70-80,000 rakyat Rusia telah terbunuh atau cedera di Ukraine sejak pencerobohan pada 24 Februari. – AFP, 30 Ogos, 2022.
Komen