ORANG yang terakhir dari komunitinya, seorang lelaki orang asli Brazil yang hanya dikenali sebagai “the man of the hole” telah ditemui mati, beberapa dekad selepas seluruh sukunya yang tidak dapat dihubungi dibunuh oleh penternak dan pelombong haram, kata pegawai.
Setelah hidup dalam pengasingan sepenuhnya selama 26 tahun, lelaki itu – yang nama sebenarnya tidak pernah diketahui dunia luar – ditemui dalam buaian di sebuah pondok di wilayah orang asli Tanaru di negeri Rondonia di sempadan dekat Bolivia pada 23 Ogos, menurut kenyataan Brazil’s National Indian Foundation (Funai).
Sejak kehilangan semua orang yang dikenalinya, lelaki itu telah menolak semua hubungan dengan dunia luar dan menjaga dirinya dengan memburu dan menanam tanaman. Nama panggilannya itu berasal dari tabiatnya menggali lubang dalam di dalam pondok yang dibinanya, mungkin untuk memerangkap haiwan tetapi juga untuk bersembunyi di dalamnya.
Dia tinggal di wilayah orang asli yang dikelilingi oleh ladang lembu yang luas dan di bawah ancaman berterusan daripada pelombong dan pembalak haram di salah satu bahagian paling bahaya di hutan hujan Amazon Brazil, menurut Survival International.
Pihak berkuasa tidak mengulas mengenai punca kematian lelaki itu, mahupun umurnya, yang tidak diketahui, namun berkata “tiada tanda-tanda keganasan atau pergelutan.”
Mereka juga tidak menemui bukti kehadiran orang lain di rumahnya atau di sekelilingnya.
“Semuanya menunjukkan yang kematiannya itu secara semula jadi,” kata Funai, sebuah agensi kerajaan di bawah kementerian kehakiman yang ditugaskan untuk mengendalikan hal ehwal orang asli.
Media tempatan melaporkan mayat lelaki itu telah ditutup dengan bulu macaw, menyebabkan seorang pakar membuat spekulasi yang dia tahu dia hampir mati.
Lelaki itu dipercayai bersendirian sejak baki anggota suku kecilnya dibunuh pada pertengahan 1990-an oleh pembalak haram dan pelombong yang ingin mengeksploitasi kawasan puak itu.
Kumpulan hak asasi manusia berkata majoriti suku itu telah dibunuh pada 1970-an apabila penternak berpindah ke kawasan itu, menebang hutan dan menyerang penduduk.
“Dengan kematiannya, pembunuhan beramai-ramai orang asli ini selesai,” kata Fiona Watson, pengarah penyiasatan Survival, yang melawat wilayah Tanaru pada 2004.
“Ia benar-benar pembunuhan beramai-ramai: penghapusan yang disengajakan ke atas seluruh rakyat oleh penternak yang haus akan tanah dan kekayaan,” tambahnya.
Menurut data kerajaan terkini, terdapat kira-kira 800,000 orang asli yang tergolong dalam lebih daripada 300 kumpulan berbeza yang tinggal di Brazil, sebuah negara dengan 212 juta orang.
Lebih separuh tinggal di Amazon dan kebanyakan daripada mereka berada di bawah ancaman eksploitasi haram sumber asli.
Menurut Funai, terdapat 114 rekod kumpulan pribumi terpencil di Brazil, walaupun jumlah itu berbeza-beza. – AFP, 30 Ogos, 2022.
Komen