Banyak pub UK mungkin tutup kerana kenaikan harga tenaga


Enam daripada pub dan firma pembuat bir terbesar di United Kingdom berkata beberapa pub telah menyaksikan kenaikan bil lebih tiga kali ganda tahun ini, sebahagian daripada krisis kos sara hidup yang meningkat. – Gambar EPA, 30 Ogos, 2022.

PUB-PUB di Britain mungkin terpaksa tutup berikutan lonjakan tinggi harga tenaga, kata pemimpin industri pada Selasa, menggesa kerajaan campur tangan.

Enam daripada pub dan firma pembuat bir terbesar di United Kingdom berkata beberapa pub telah menyaksikan kenaikan bil lebih tiga kali ganda tahun ini, sebahagian daripada krisis kos sara hidup yang meningkat.

“Kami dapati pemilik pub mengalami peningkatan lebih 300 peratus kos tenaga dan beberapa syarikat tenaga enggan menyebut harga bekalan,” kata William Lees Jones, pengarah urusan kumpulan pub JW Lees.

“Dalam beberapa keadaan, penyewa memberi kami notis kerana perniagaan mereka tidak mampu tanggung kos tenaga.”

Seorang penyewa pub dalam kumpulan Greene King yang mempunyai 2,700 ahli telah menyaksikan peningkatan £33,000 (AS$38,600) dalam bil tenaga mereka tahun ini, kata ketua eksekutifnya Nick Mackenzie.

“Walaupun kerajaan telah memperkenalkan langkah untuk membantu isi rumah menghadapi lonjakan harga ini, perniagaan terpaksa berhadpaan secara sendirian, dan ia hanya akan menjadi lebih buruk apabila musim luruh.

“Tanpa campur tangan kerajaan segera untuk menyokong sektor ini, kita boleh berhadapan prospek pub tidak dapat membayar bil mereka, pekerjaan hilang dan peniaga tempatan di seluruh negara terpaksa menutup pintu mereka, bermakna semua kerja baik dilakukan untuk memastikan pub dibuka semasa wabak itu boleh dibazirkan.”

Krisis kos sara hidup Britain telah menyaksikan inflasi melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun, dengan peningkatan jumlah mogok terhadap tawaran gaji yang tidak seiring dengan kenaikan harga.

Minggu lepas pengawal selia tenaga Ofgem mengumumkan kenaikan 80 peratus dalam harga gas dan elektrik untuk purata isi rumah mulai Oktober, dengan bil yang lebih tinggi dijangka mulai Januari.

Tetapi had harga tenaga tidak terpakai kepada perniagaan.

Syarikat-syarikat – Greene King, JW Lees, Carlsberg Marston’s, Admiral Taverns, Drake & Morgan dan St Austell Brewery – menggesa kerajaan dalam surat terbuka untuk memperluaskan had kepada perniagaan. – AFP, 30 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen