17% penduduk Eropah berisiko tinggi alami kekurangan air menjelang 2050


WWF memberi amaran 17% penduduk Eropah bakal berdepan masalah kekurangan air menjelang 2050 dan perubahan drastik di benua itu boleh menjejaskan ekonomi tempatan. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2022.

TABUNG Hidupan Liar Dunia (WWF) memberi amaran 17% penduduk Eropah bakal berdepan masalah kekurangan air menjelang 2050.

Sebarang perubahan drastik di benua itu boleh menjejaskan ekonomi tempatan, lapor HINA.

“Memandangkan Eropah mengalami gelombang panas terburuk dalam sejarah, musim kemarau dan paras air sungai yang rendah, analisis baharu WWF menganggarkan 17% penduduk benua itu dan 13$ daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdepan risiko kekurangan air melampau menjelang 2050.

“Ia dapat dielakkan jika kerajaan dan syarikat perniagaan mengambil tindakan segera untuk meningkatkan daya tahan masyarakat dan ekonomi, khususnya melalui Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi,” menurut WWF.

Menurut kenyataan akhbar, Greece sebagai contoh adalah antara negara menghadapi risiko tertinggi, dan 82% penduduknya bakal berdepan risiko kekurangan air melampau menjelang 2050.

“Sungai yang bersih akan menjadi kunci membina daya tahan dan menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.

“Tetapi 60% sungai di Eropah kini terjejas, walaupun terdapat kewajipan undang-undang Rangka Kerja Air EU untuk melindungi dan memulihkan sumber air tawar Eropah dan memastikan semua sungai mencapai status sungai bersih menjelang 2027.”

WWF memaklumkan negara di rantau Adria menghadapi risiko kekurangan bekalan air yang sangat rendah.

Bagaimanapun, sebarang perubahan drastik di benua itu boleh menjejaskan ekonomi di negara rantau Adria. – Bernama, 29 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen