Polis siasat dakwaan Pogba diperas ugut


Paul Pogba memberitahu penyiasat beliau diugut oleh beberapa rakannya yang dikenali sejak kecil dan dua lelaki bersenjata, didesak membayar 13 juta euro. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2022.

POLIS Perancis membuka siasatan berhubung dakwaan juara Piala Dunia Paul Pogba yang beliau mangsa plot peras ugut bernilai jutaan euro dilakukan kumpulan gengster membabitkan abangnya, kata sumber.

Tuduhan Pogba itu susulan abangnya Mathias menyiarkan satu video secara online – dalam empat bahasa (Perancis, Itali, Bahasa Inggeris dan Sepanyol) – menjanjikan “pendedahan hebat” berkenaan bintang Juventus itu.

Satu kenyataan ditandatangani peguamnya, ibunya Yeo Moriba dan ejennya Rafaela Pimenta berkata video yang disiarkan pada malam Sabtu itu tidak mengejutkan.

“Ia adalah tambahan kepada ugutan dan cubaan peras ugut dilakukan geng terancang terhadap Paul Pogba,” kata kenyataan itu.

“Agensi berkenaan di Itali dan Perancis dimaklumkan sebulan lalu dan tidak akan ada komen lanjut berhubung siasatan yang sedang dijalankan.”

Mathias, 32, berjanji untuk mendedahkan sesuatu tentang Paul dan Pimenta, yang mengambil alih sebagai ketua dalam syarikat bekas ejen Mino Raiola yang meninggal dunia pada April.

Beliau berkata seluruh dunia, termasuk peminat adik saya, malah pasukan Perancis dan Juventus, rakan sepasukan adik saya dan penajanya berhak tahu beberapa perkara.

Mathias yang juga pemain bola sepak profesional berkata orang ramai perlu tahu apa yang beliau tahu bagi membolehkan mereka menilai sendiri sama ada adiknya berhak ada tempat dalam pasukan Perancis dan layak bermain di Piala Dunia.

Menurut sumber dekat dengan keluarga Pogba, sejumlah besar wang dituntut daripada Paul jika beliau tidak mahu pendedahan daripada video itu.

France Info melaporkan Paul memberitahu penyiasat beliau diugut oleh beberapa rakannya yang dikenali sejak kecil dan dua lelaki bersenjata.

Mereka mendesak Paul memberikan 13 juta euro sebagai membayar “perkhidmatan yang disediakan” – AFP, 29 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen