INDIA merobohkan dua pangsapuri berkembar setinggi 100 meter di luar New Delhi, hari ini. Acara penuh dramatik itu turut disiarkan secara langsung di stesen TV tempatan.
Perobohan “menara berkembar” di Noida itu adalah salah satu contoh ketegasan kerajaan India terhadap pemaju dan pegawai yang korup.
Bangunan 32 tingkat yang dikenali sebagai “Apex” dan 29 tingkat (Ceyane) menempatkan hampir 1,000 unit kediaman pangsapuri tidak berpenghuni selama sembilan tahun berikutan pertikaian undang-undang. Ia dirobohkan dalam tempoh beberapa saat.
Letupan terkawal menggunakan 3,700 kilogram peledak itu merupakan perobohan terbesar di India setakat ini, lapor media tempatan.
Ribuan rakyat serta anjing liar, terpaksa dipindahkan sebelum letupan, termasuk di bangunan tinggi berdekatan yang terletak hanya sembilan meter dari tempat kejadian.
Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan dilaporkan pada bangunan berhampiran. – AFP, 28 Ogos, 2022.
Komen