
DALAM ceramah pertamanya selepas pulih daripada jangkitan paru-paru, Dr Mahathir Mohamad menyampaikan mesej yang pendek dan ringkas: “Undilah apa saja kecuali Barisan Nasional atau PAS”.
“Mereka fikir mereka boleh menang dengan tidak membenarkan kami bertanding sebagai satu parti tetapi kita boleh kalahkan mereka jika kita kekal dengan ini,” kata calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) yang berusia 92 tahun itu di depan pejabat Bersatu dan PKR di Taman Sg Petai, Alor Gajah, Melaka semalam.
PH memfailkan tuntutan saman terhadap Pendaftar Pertubuhan minggu lalu selepas masih gagal mendaftarkan gabungan itu walaupun permohonan dibuat sejak tujuh bulan lalu.
Beliau mendakwa BN cuba untuk mengelirukan pengundi dan membuatkan mereka bertanding sebagai empat parti, bukannya satu.
Menyedari penontonnya sudah pun mendengar kebanyakan alasan kenapa perubahan kerajaan itu amat diperlukan, Dr Mahathir berkata: “Perhimpunan sebesar ini bermakna anda sedar masalah yang sedang melanda negara kita.”
Satu lagi sebab mengapa Dr Mahathir hanya berucap 20 minit ialah kerana beliau nampaknya masih dalam proses pemulihan daripada jangkitan itu, dan beliau kadangkala berhenti seketika dan terbatuk.
“Melaka ditadbir oleh BN sejak kemerdekaan. Sama juga dengan negara kita. Tetapi 60 tahun terlalu panjang untuk satu parti memerintah negara ini kerana apa saja yang terlalu lama akan jadi teruk,” kata bekas perdana menteri itu di depan kira-kira 3,000 pengunjung.
“Jika dulu kita dikenali sebagai model pembangunan negara atau Harimau Asia, kini dunia fikir kita negara rasuah.
“Ini situasi yang luar biasa di mana negara ini diketuai oleh seorang pencuri,” katanya yang juga pengerusi PH.
Yakin akan menang
Bekas perdana menteri itu juga cuba meyakinkan warga Melaka bahawa Melayu berada dengan PH kali ini.

“
“Melayu bukan seperti yang Najib Razak fikirkan. Dia cuba merasuah pengundi di Langkawi dengan adakan cabutan nombor bertuah dan beri hadiah lima motosikal tetapi tidak ramai yang datang. Orang Melayu tahu dia cuba beli undi mereka.
“Saya yakin orang Melayu akan menolak cubaan rasuah seperti itu. Saya merayu anda menolak cubaan Najib untuk rasuah anda walaupun jika anda miskin. Anda boleh ambil tetapi jangan undi BN,” kata Dr Mahathir.
Rakyat mahu jumpa Dr Mahathir
KH Chew, 42, yang datang pada sesi “Teh Tarik” bersama Dr Mahathir di Kampung Tampoi, berkata dia hanya mahu menunjukkan sokongan kepada negarawan itu.
“Dia masih berjuang pada usia 92 tahun. Kenapa saya perlu duduk di rumah?,” kata Chew yang menghabiskan sepanjang petangnya melihat sesi itu dari luar rumah di mana ia diadakan.
Seorang lagi warga Melaka, Aziz Ahmad berkata dia datang ke sesi di Kampung Tampoi dan kemudian turut serta mendengar ceramah pada sebelah malam, sebagai sokongannya kepada Dr Mahathir.
“Saya sudah pergi banyak ceramah dan dengar segalanya, tetapi saya masih datang untuk beri sokongan,” kata Aziz yang bukan ahli mana-mana parti.
Di sebuah restoran mamak berhampiran tapak ceramah, Lim Ah Moi, 78, kedengaran menjerit ke arah suaminya dalam bahasa Melayu: “Dr Mahathir kata ‘undi untuk PAS maknanya undi untuk BN’.”
“Ingat ini, undilah apa saja kecuali ‘dacing’ atau ‘bulan’.” – 26 Februari, 2018.
Komen