Rebutan kuasa di Tripoli 23 maut, 140 cedera


Kumpulan bersenjata yang menyokong Kerajaan Perpaduan Nasional kelihatan di Tripoli, Libya semalam. – Gambar AFP, 28 Ogos, 2022.

LEBIH 20 orang maut manakala 140 lagi cedera susulan pertembungan antara dua kumpulan bersenjata bagi dua kerajaan yang berebut untuk memerintah negara itu menurut Kementerian Kesihatan Libya pada Sabtu.

Sebelumnya kementerian kesihatan memaklumkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala 87 cedera dalam pertempuran yang meletus pada hari Jumaat di Tripoli antara kumpulan yang setia kepada ketua Kerajaan Perpaduan Negara, Abdul Hamid Dbeibeh dengan kumpulan yang berpihak kepada bakal Perdana Menteri Fathi Bashagha.

“Setakat ini 23 orang disahkan terbunuh manakala 140 cedera,” kata Kementerian Kesihatan Libya dalam kenyataan terkini pada Sabtu, lapor Sputnik.

Seorang wakil kerajaan Bashagha memaklumkam pihaknya tidak ada kaitan dengan insiden yang berlaku pada Jumaat.

Menurut laporan media tempatan, kumpulan yang setia kepada Dbeibeh berjaya mengawal beberapa bangunan di Tripoli yang dilaporkan sebagai pusat operasi ahli kumpulan yang setia kepada Bashagha.

Awal minggu ini Bashagha dilaporkan menggesa Dbeibeh meletak jawatan namun Dbeibeh menasihati Bashagha untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya presiden yang akan datang.

Pada 1 Mac, Dewan Perwakilan Libya yang berpangkalan di Tobruk mengundi untuk membentuk kabinet baharu diketuai oleh bakal Perdana Menteri Fathi Bashagha, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri Kerajaan Persetujuan Negara (GNA).

Dbeibeh dilantik tahun lalu mengetuai Kerajaan sementara Perpaduan Nasional dan mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu enggan melepaskan jawatannya.

Dbeibeh berkata bahawa beliau tidak berhasrat untuk menyerahkan pentadbiran kerajaan sebelum pilihan raya presiden.

Pada hari yang sama, Misi Sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Libya menyuarakan kebimbangan terhadap pertempuran yang berterusan termasuk kejadian tembakan sederhana dan berat secara rambang di kawasan kejiranan di Tripoli.

Misi Sokongan PBB menyeru permusuhan dihentikan segera dan mengingatkan semua pihak untuk memenuhi kewajipan mereka di bawah hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan demi melindungi orang awam juga harta benda awam.

Libya mengalami ketidakstabilan politik dan huru-hara sejak kejatuhan Muammar Gaddafi pada 2011. – Bernama, 28 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen