PERDANA Menteri Perancis Elisabeth Borne mengumumkan peruntukan dana lestari bernilai AS$1.5 bilion agar pihak berkuasa tempatan mempercepatkan peralihan ekologi di negara itu, lapor Xinhua.
Dalam temu bual dengan akhbar harian Perancis Le Parisien, perdana menteri berkata dana lestari itu akan membantu pihak berkuasa tempatan untuk “melaksanakan penyelesaian mengurangkan pelepasan wasap rumah hijau dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim”.
Borne berkata beliau akan membentangkan pelan tenaga dan pelan tindakan jangka panjang mengenai perancangan ekologi pada musim gugur.
“Dengan rancangan untuk mempercepatkan peralihan ekologi, kita akan mengambil kira semua aspek dalam kehidupan kita, seperti bangunan, pengangkutan, industri, pertanian, dan pengurusan air,” katanya.
“Perubahan iklim bukan lagi suatu risiko, tetapi realiti. Setiap daripada kita telah mengalaminya pada musim panas ini. Oleh itu, kita mesti bertindak cepat untuk menyesuaikan diri,” katanya.
Rakyat Perancis boleh bertenang kerana kerajaan tidak akan membiarkan harga tenaga melambung tinggi, katanya. – Bernama, 28 Ogos, 2022.
Komen