Kes saman privasi Cambridge Analytica, Facebook capai persetujuan awal


Saman dimulakan pada 2018 itu, pengguna Facebook menuduh rangkaian media sosial itu melanggar dasar privasi dengan berkongsi data mereka dengan pihak ketiga termasuklah Cambridge Analytica yang dikaitkan dengan kempen presiden Donald Trump pada 2016. – Gambar EPA, 28 Ogos, 2022.

FACEBOOK sudah mencapai persetujuan awal dalam saman meminta pampasan daripada rangkaian media sosial itu kerana membenarkan pihak ketiga, termasuk syarikat Cambridge Analytica untuk mengakses data privasi pengguna.

Menurut dokumen difailkan pada Jumaat di mahkamah San Francisco, Facebook berkata ia sedang menghantar draft “perjanjian secara prinsip” dan meminta penangguhan prosiding selama 60 hari untuk memuktamadkannya.

Rangkaian media sosial itu tidak menyatakan jumlah atau terma perjanjian dalam kes saman kelas itu.

Syarikat induk Facebook, Meta, tidak membalas pertanyaan dikemukakan AFP.

Perjanjian itu terhasil ketika Ketua Meta Mark Zuckerberg dan bekas ketua pegawai operasi Sheryl Sandberg, yang mengumumkan perletakan jawatan pada Jun, dijadualkan memberi keterangan di mahkamah pada September ini.

Dalam saman dimulakan pada 2018 itu, pengguna Facebook menuduh rangkaian media sosial itu melanggar dasar privasi dengan berkongsi data mereka dengan pihak ketiga termasuklah Cambridge Analytica yang dikaitkan dengan kempen presiden Donald Trump pada 2016.

Cambridge Analytica, yang sudah ditutup, mengutip dan mengeksploitasi, tanpa kebenaran, data peribadi 87 juta pengguna Facebook, dengan akses yang diberikan platform itu.

Maklumat itu didakwa digunakan untuk membangunkan perisian memperdaya pengundi AS memihak kepada Trump.

Pada 2019, pihak berkuasa mendenda Facebook sebanyak AS$5bilion kerana memperdaya penggunanya dan mengarahkan penyelia bebas untuk pengurusan data peribadinya.

Sejak skandal Cambridge Analytica tercetus, Facebook membatalkan akses kepada datanya yang diberikan kepada ribuan aplikasi disyaki menyalahguna data, menyekat jumlah maklumat tersedia untuk pemaju perisian dan memudahkan pengguna untuk mengenakan sekatan kepada perkongsian data peribadi. – AFP, 28 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen