Kematian Covid-19 cecah sejuta kes tahun ini, kata WHO


Ketua Covid-19 WHO Maria Van Kerkhove berkata kini masanya untuk melakukan pemeriksaan realiti terhadap virus itu susulan 14,000 atau 15,000 kematian direkodkan setiap minggu. – Gambar AFP, 28 Ogos, 2022.

KETUA Covid-19 di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata kini masanya untuk melakukan pemeriksaan realiti terhadap virus itu selepas sejuta kematian direkodkan akibat penyakit itu tahun ini.

Maria Van Kerkhove berkata jumlahnya sangat menyayat hati kerana ujian, rawatan, vaksin dan langkah kesihatan awam untuk mengawal penyakit itu semuanya sudah tersedia.

“Memandangkan kita berada pada tahun ketiga pandemik, ia lebih tragik kerana kita ada alat yang sebenarnya boleh mencegah kematian akibat virus ini,” katanya menerusi siaran langsung di media sosial WHO.

“Ramai antara kita menjadi ‘tiada perasaan’ kepada angka.

“Kita perlu melihat realiti. Kita tidak sepatutnya berada pada kedudukan 14,000 atau 15,000 kematian setiap minggu. Ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Van Kerkhove berkata wabak itu belum berakhir tetapi ia boleh ditamatkan sementara orang ramai terus menjalani kehidupan seharian mereka.

“Ramai orang bercakap mengenai hidup dengan Covid-19. Namun, kita perlu menjalaninya dengan penuh tanggungjawab.

“Sejuta kematian tahun ini tidak hidup dengan Covid-19. Dengan 15,000 kematian setiap minggu, ia menunjukkan kita tidak hidup dengan Covid-19 secara bertanggungjawab,” katanya.

Hampir 6.45 juta kematian dilaporkan kepada WHO sejak virus itu mula dikesan di China pada akhir 2019.

Lebih 5.3 juta kes baharu dilaporkan kepada agensi kesihatan PBB minggu lalu.

“Ini jumlah yang besar dan itu sesuatu yang diremehkan,” kata Van Kerkhove, dengan ujian di rumah tidak ditunjukkan dalam data pengawasan.

“Kita melihat virus ini menular dengan sangat hebat di seluruh dunia. Malangnya, virus itu tidak akan hilang,” katanya. – AFP, 28 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen