23 terbunuh pertempuran di Libya


Tembakan senjata dan letupan menggegarkan beberapa daerah di Libya sepanjang malam kelmarin dan semalam, dengan asap dilihat dilihat dari bangunan yang rosak. – Gambar AFP, 28 Ogos, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 23 terbunuh dalam pertempuran antara penyokong kerajaan saingan Libya, yang turut merosakkan enam hospital di Tripoli, semalam.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan krisis politik boleh merebak menjadi konflik bersenjata baharu yang besar.

Tembakan senjata dan letupan menggegarkan beberapa daerah di ibu negara itu sepanjang malam kelmarin dan semalam, dengan asap dilihat dilihat dari bangunan yang rosak.

Bagaimanapun, wartawan AFP berkata situasi tenang namun masih berwaspada.

Ketua kerajaan di Tripoli Abdulhamid Dbeibah menyiarkan video menunjukkan dirinya dikelilingi pengawal peribadi dan memberi salam kepada pejuang yang menyokongnya.

Dalam angka yang dikemas kini, kementerian kesihatan di Tripoli, berkata 23 terbunuh dan 140 cedera dalam pertempuran itu.

Enam hospital rosak dan ambulans tidak dapat sampai ke kawasan yang terjejas akibat pertempuran, kata kementerian itu sebelum ini dan mengutuk “jenayah perang” berkenaan.

Dua pentadbiran yang bersaing untuk menguasai negara Afrika Utara itu dan sumber minyaknya yang luas, dengan satu berpangkalan di ibu negara, manakala satu lagi diluluskan Parlimen di timur negara itu, saling menuduh antara satu sama lain.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya Richard Norland dalam satu kenyataan berkata Washington mengutuk lonjakan insiden keganasan itu dan menggesa gencatan senjata segera serta rundingan yang akan dibantu PBB antara pihak yang berkonflik.

Agensi berita Lana memaklumkan, pelakon Mustafa Baraka terbunuh di salah satu kawasan kejiranan dilanda pertempuran itu, mencetuskan kemarahan dan berkabung di media sosial. – AFP, 28 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen