GEREJA Katolik di Colombia mengeluarkan senarai nama 26 orang paderi yang disiasat kerana didakwa melakukan jenayah seksual ke atas kanak-kanak bawah umur, lapor media tempatan semalam.
Ketua Biskop Medellin mendedahkan senarai paderi yang dituduh antara 1995 hingga 2019 selepas penghakiman mahkamah memihak kepada Juan Pablo Barrientos, seorang wartawan yang menyiasat dakwaan wujudnya rangkaian paderi pedofilia.
“Kebanyakan paderi ini hanya digantung tugas sementara dan kemudian menjadi paderi balik,” kata Barrientos yang sudah menyiasat kes serangan seksual melibatkan paderi sejak bertahun-tahun, dalam satu rakaman video dikeluarkan pada Sabtu.
Barrientos berjaya mendapatkan hakim untuk menerima permohonannya dan memaksa Ketua Biskop Medellin mendedahkan senarai itu.
Pihak pendakwaan yang masih belum mengeluarkan kenyataan ke atas siasatan itu, menerima 14 aduan pada Khamis, walaupun ia melibatkan kes lama, menurut dokumen dikeluarkan gereja.
Biskop Medellin Monsignor Ricardo Tobon berkata institusi itu mahu “menunjukkan ketelusan, komited dengan kebenaran dan tidak berhasrat melindungi kejadian.”
Dalam satu rakaman video dikeluarkan Ketua Biskop di Twitter, pemimpin gereka menuduh Barrientos “melakukan kempen fitnah agresif kepada gereja.”
Menurut wartawan itu, gereja mendedahkan nama tersebut “kerana Mahkamah Perlembagaan memaksa mereka berbuat demikian.”
Pada 2019, Barrientos menerbitkan buku “Let the children come to me”, sebuah siri siasatan melibatkan kes serangan seksual melibatkan paderi di negara Amerika Selatan itu, di mana kebanyakan penduduk adalah Roman Katolik.
Gereja cuba menyekat penerbitan buku itu menerusi saluran perundangan tetapi gagal.
Sekurang-kurangnya enam paderi sedang atau sudah menjalani hukuman penjara kerana jenayah rogol kanak-kanak di negara itu. – AFP, 28 Ogos, 2022.
Komen