PIHAK berkuasa Haiti menangguhkan permulaan tahun persekolahan selama sebulan, ketika negara Caribbean itu sedang bergelut dengan krisis ekonomi yang menyaksikan kekurangan bekalan minyak dan lonjakan harga.
Kementerian Pendidikan Nasional dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Jumaat mengumumkan yang “permulaan tahun akademik persekolahan 2022-2023 kini ditetapkan pada Isnin, 3 Oktober, 2022” berbanding 5 September.
Kenyataan tidak memberikan sebab penangguhan, dan kementerian masih tidak memberikan balasan kepada pertanyaan dikemukakan AFP.
Negara miskin itu sedang bergelut dengan masalah keselamatan,inflasi dan kekurangan bekalan tenaga, yang menyukarkan perjalanan dan menimbulkan keresahan tentang permulaan persekolahan sejak berminggu lepas.
Pada Julai, kadar inflasi mencecah 29%, menurut data dikeluarkan Institut Statistik dan Teknologi Maklumat Haiti (IHSI).
Disebabkan itu, harga barang keperluan asas terus meningkat, termasuklah peralatan persekolahan.
Penyelaras Kesatuan Sekerja Pendidik dan Pengajar Haiti Kenson Delice berkata pihak berkuasa juga masih belum mengumumkan sebarang langkah untuk membenarkan sekolah kembali dibuka dalam keadaan lebih baik sebulan lagi.
“Kerajaan hanya berpuas hati dengan pengumuman penangguhan permulaan sekolah tanpa menyatakan apa langkah mereka untuk menambah baik situasi sukar penduduk, menyelesaikan masalah keselamatan dan menjadikan bahan tenaga lebih mampu beli,” katanya.
Haiti terheret ke dalam krisis politik sejak beberapa tahun lepas, dan pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada 2021 semakin memburukkan keadaan.
Kumpulan penjenayah juga semakin kebal daripada tindakan undang-undang sehingga menyebabkan lonjakan kes keganasan sejak beberapa tahun lepas. – AFP, 28 Ogos, 2022.
Komen