Perikatan tiada kekuatan hadapi PRU15, kata penganalisis politik


Jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat, ia tidak membawa kelebihan kepada PN, kata Profesor James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Ogos, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) akan menjadi parti “underdog” menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana hanya PAS mempunyai jentera pilihan raya yang kuat, kata penganalisis politik.

Memandangkan PN juga bergantung terutamanya kepada undi Melayu, ia akan berdepan pertembungan menentang Barisan Nasional.

Parti itu juga akan berdepan cabaran sukar untuk mendapatkan undi bukan Melayu daripada Pakatan Harapan, kata mereka.

Profesor James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat, ia tidak membawa kelebihan kepada PN.

“Jelas hanya PAS yang mempunyai jentera pilihan raya yang kuat. Bersatu benar-benar goyah dalam hal ini dan Gerakan berada di ICU, bukan mati, tetapi hampir mati,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.

“Tarikh pilihan raya sudah tentu sangat penting. Jika diadakan tahun ini, sudah tentu Bersatu kurang masa untuk membuat persiapan.

“Kemungkinan besar pilihan raya akan diadakan pada akhir Oktober atau awal November.”

Chin berkata melihat konvensyen PN awal hari ini, ia menunjukkan gabungan itu tidak begitu bersemangat.

“Konvensyen kebangsaan ini pun mereka susun, anda boleh lihat mereka tidak bersemangat tinggi berbanding Umno.

“Saya fikir kebanyakan orang akan melenyapkan Bersatu, tetapi sukar untuk meramalkan kesannya sehingga kempen pilihan raya berlangsung.

“Tetapi pada masa ini ia kelihatan seperti mereka adalah parti ‘underdog’ dan bukan pilihan.” – 27 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen