Keperluan bangun instrumen antarabangsa cegah pandemik masa depan


Dalam kenyataan itu HLM12 menegaskan tiada kekayaan tanpa kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos,2022.

NEGARA-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menyedari keperluan untuk membangun instrumen antarabangsa baharu mengenai pencegahan, kesiapsediaan dan respons wabak bagi mengukuhkan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (2005).

Dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Peringkat Tinggi APEC mengenai Kesihatan dan Ekonomi ke-12 (HLM12) yang diadakan di Bangkok ia menyebut dunia perlu lebih bersedia menghadapi wabak masa depan dan ancaman kesihatan lain melalui pelaburan yang dipertingkatkan dalam keselamatan kesihatan.

“HLM12 menggalakkan ekonomi, rakan kongsi pembangunan dan sektor swasta untuk meningkatkan pelaburan mereka bagi mempercepat pembangunan dan pengeluaran vaksin, diagnostik, dan terapeutik yang selamat, berkesan dan berkualiti untuk mencegah, mengesan dan merawat penyakit berjangkit baharu muncul serta yang muncul semula, dan menyeru untuk kerjasama global yang lebih kukuh dalam menangani kecemasan kesihatan awam.

“HLM12 menegaskan semula kepentingan program imunisasi sebagai langkah kesihatan awam yang paling kos efektif, mempunyai kesan langsung ke atas faedah ekonomi dan pertumbuhan di rantau kita,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga berkata HLM12 mengalu-alukan usaha berterusan untuk mewujudkan ekonomi digital yang terbuka, adil dan inklusif. Ia bertujuan memupuk penerapan teknologi baharu, membolehkan perniagaan dan usahawan berkembang maju, dan bekerjasama dalam memudahkan aliran data yang akan mengukuhkan ekonomi APEC dan keupayaan kami untuk menangani COVID-19 dan cabaran kesihatan masa depan.

Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul mempengerusikan mesyuarat  HLM12 sepanjang dua hari yang berakhir pada Jumaat.

Bertemakan “Terbuka kepada Perkongsian. Berhubung dengan Dunia. Keseimbangan Kesihatan dan Ekonomi,” mesyuarat itu menyokong realisasi Wawasan Putrajaya 2040.

Kenyataan itu berkata ekonomi anggota APEC komited  untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan bertujuan menggalakkan perdagangan, pertumbuhan dan pembangunan inklusif di rantau APEC dan meningkatkan pelaburan mereka dalam keselamatan kesihatan dan sistem kesihatan.

Ekonomi APEC juga mengesahkan semula komitmen untuk lebih bersedia menghadapi pandemik masa depan dan ancaman kesihatan lain serta untuk mencapai dan mengekalkan liputan kesihatan sejagat.

“Tiada kekayaan tanpa kesihatan,” kata kenyataan itu.

Ia juga mengiktiraf bahawa strategi kesihatan awam yang dilaksanakan di rantau ini untuk membendung wabak COVID-19 telah menyumbang kepada pembendungan global COVID-19 dan menyediakan asas kukuh untuk pemulihan ekonomi dunia dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

“HLM12 menekankan keperluan untuk meneruskan usaha bagi mempercepatkan pengagihan vaksin COVID-19, menyokong akses saksama kepada vaksin COVID-19 yang selamat, berkesan, terjamin kualitinya dan berpatutan, terapeutik dan diagnostik, menyokong pekerja penjagaan kesihatan dan menangani maklumat yang salah,” kata kenyataan itu. – Bernama, 27 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen