AHLI negara PBB menamatkan rundingan dua minggu pada Jumaat tanpa triti untuk melindungi kepelbagaian biologi di laut dalam perairan antarabangsa, perjanjian yang akan membantu menangani pelbagai cabaran alam sekitar dan ekonomi.
Selepas 15 tahun, termasuk empat sesi rasmi sebelumnya, perundingan masih tidak mencapai kata sepakat bagi merangka teks perundangan yang akan menangani pelbagai isu wujud di perairan antarabangsa- zon yang meliputi hampir separuh bumi.
“Walaupun kita mempunyai progress menakjubkan, kita masih perlukan sedikit masa untuk untuk mencapai garisan akhir,” kata Pengerusi Persidangan Rena Lee.
Ia kini terpulang kepada Perhimpunan Agung PBB untuk menyambung semula sesi kelima pada tarikh yang belum ditentukan.
Ramai berharap yang sesi rundingan terbaru bermula pada 15 Ogos di ibu pejabat PBB di New York akan menjadi sesi terakhir dan mampu merangka teks “perlindungan dan kelestarian penggunaan kepelbagaian biologi marin melepasi bidang kuasa negara”, atau nama pendeknya BBNJ.
“Walaupun mengecewakan yang triti masih belum dimuktamadkan sepanjang dua minggu rundingan, kami kekal bersemangat dengan progress yang dibuat,” kata Liz Karan, ahli NGO Pew Charitable Trusts, yang mendesak sesi terbaru diadakan pada akhir tahun ini.
Salah satu isu paling sensitif melibatkan perkongsian keuntungan daripada pembangunan sumber genetik di perairan antarabangsa, di mana syarikat farmaseutikal, kimia dan kosmetik berharap dapat menemui pelbagai jenis dadah, produk dan rawatan terbaru.
Kos penyelidikan di laut dalam yang tinggi menyebabkan ia sering dilakukan negara kaya, tetapi negara membangun tidak mahu ketinggalan daripada keuntungan yang mungkin diperolehi daripada sumber marin yang tidak dimiliki sesiapa.
Beberapa isu lain turut wujud seperti isu perubahan iklim.
Laut dalam bermula di sempadan zon ekslusif ekonomi (EEZ) negara- yang menurut undang-undang antarabangsa tidak boleh melebihi 370 kilometer daripada pesisirnya- dan tidak berada di bawah bidang kuasa mana-mana negara.
Enam puluh peratus laut dunia berada dalam kategori ini. – AFP, 27 Ogos, 2022.
Komen