Ketua WHO minta dunia bermuhasabah, korban Covid-19 cecah sejuta tahun ini


Korban Covid-19 seluruh dunia cecah sejuta orang tahun ini, situasi disifatkan WHO sebagai tidak sepatutnya berlaku kerana semua perkara dan alatan untuk menghalangnya sudah wujud. – Gambar AFP, 27 Ogos, 2022.

KETUA Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) pada Jumaat berkata sudah tiba masanya untuk bermuhasabah tentang virus Covid-19 selepas kematian sejuta direkodkan tahun ini.

Maria Van Kerkhove, yang menerajui pasukan teknikal Covid-19 WHO, berkata jumlah itu “mematahkan hati” kerana ujian, rawatan, vaksin dan langkah kesihatan awam bagi mengawal wabak sudah tersedia.

“Memandangkan kita berada dalam tahun ketiga pandemik, ia lebih tragik kerana kita ada semua benda yang sebenarnya boleh menghalang kematian ini,” katanya pada sesi interaksi langsung di saluran media sosial WHO.

“Ramai antara kita sudah lali dengan nombor (disebabkan wabak).

“Kita perlu muhasabah. Kita perlu tetapkan pendirian yang sepatutnya. Kita tidak boleh kembali ke masa 14,000 atau 15,000 mati setiap minggu. Kita tak sepatutnya begitu.”

Van Kerkhove menegaskan yang pandemik belum berakhir, tetapi ia boleh ditamatkan ketika manusia meneruskan kehidupan harian mereka.

“Kita hanya perlu lebih berfikir dan berhati-hati,” katanya.

“Ramai orang bercakap dengan hidup dengan Covid. Tetapi kita perlu hidup dengan bertanggungjawab.

“Sejuta kematian tahun ini bukan hidup dengan Covid. Ada 15,000 kematian setiap minggu bukan hidup dengan bertanggungjawab dengan Covid-19.”

Hampir 6.45 juta kematian dilaporkan kepada WHO sejak virus mula dikesan di China pada hujung 2019.

Lebih 5.3 juta kes baharu dilaporkan kepada agensi kesihatan PBB itu minggu lepas.

“Ini jumlah yang besar, dan ia bukan jumlah sebenar,” kata Van Kerkhove, merujuk kepada kit saringan di rumah yang tidak direkodkan data rasmi.

“Kita masih melihat virus ini terus tersebar dengan cepat di seluruh dunia.

“Malangnya, virus ini tidak akan ke mana-mana.” – AFP, 27 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen