Cuba minta bantuan AS bina semula depoh minyak terbakar


Dibina pada 1980an, depoh Matanzas dianggap mustahak dalam logisitik minyak di Cuba musnah dalam kebakaran yang membunuh 16 orang dan mencederakan 132 yang lain. – Gambar AFP, 27 Ogos, 2022.

CUBA meminta bantuan Amerika Syarikat untuk membaiki depoh simpanan minyak utama yang musnah dalam kebakaran yang mengorbankan 16 orang, kata Kementerian Luar negara itu pada Jumaat.

Permohonan itu dibuat dalam mesyuarat dalam talian diadakan pada Rabu antara pakar dua negara untuk meneroka “potensi kerjasama bagi memulihkan kawasan paling terus terjejas,” kata kementerian.

Kebakaran awal bulan ini bermula apabila petir menyambar sebuah tangki terletak di luar depoh di bandar Matanzas, hampir 100 kilometer dari Havana.

Empat daripada lapan tangki di depoh itu- setiap satu menyimpan 52 juta liter minyak- runtuh ketika kebakaran yang turut mencederakan 132 orang.

Kesemua 16 orang yang maut adalah anggota bomba yang dikerahkan mengawal kebakaran itu.

Kerosakan fasiliti simpanan terbesar Cuba itu menjejaskan sepenuhnya kemampuan negara itu untuk menyimpan minyak mentah.

Delegasi Cuba meminta “prosedur dan teknik paling inovatif” digunakan Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS serta syarikat dikaitkan dengan sektor minyak dan agensi lain, kata kementerian lagi.

AS sebelum ini menawarkan nasihat teknikal melalui panggilan telefon.

Tetapi pakar Cuba mengakui yang mereka mempunyai “pengalaman terhad” bagi menangani jenis kebakaran ini, kata kementerian.

Presiden Venezuela Nicolas Maduro sudah berikrar untuk membantu membangunkan semula fasiliti itu.

Dibina pada 1980an, depoh Matanzas dianggap mustahak dalam logisitik minyak di Cuba.– AFP, 27 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen