Kerjasama politik PAS jadi isu utama muktamar, kata sumber


Diyana Ibrahim

Muktamar PAS kali ke-68 yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 September ini sangat penting dalam menentukan hala tuju PAS dalam PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2022.

KERJASAMA PAS dengan parti lain terutama Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) dan penggunaan lambang untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara isu yang akan dibangkitkan dalam muktamar tahunan parti Islam itu hujung minggu depan, dedah sumber.

Agihan kerusi pilihan raya yang tidak merugikan parti serta kuota kerusi untuk golongan ulama juga akan disentuh oleh perwakilan, kata sumber dalaman PAS.

“Tapi penekanan akan banyak kepada isu kerjasama PAS dengan parti lain dan isu penggunaan lambang parti,” katanya kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak dinamakan.

Sumber menganggap muktamar PAS kali ini sangat penting dalam menentukan hala tuju PAS dalam PRU15.

“Ia amat penting untuk ukur gerak kerja dan tumpuan jentera yang mungkin sebelum ini masih belum jelas tentang hala tuju dan pendirian PAS,” katanya.

Sumber juga menafikan akan berlaku ketegangan yang dahsyat akibat daripada pertembungan dua kelompok – pertama, yang cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) atau “Geng Publika” dan kedua, kumpulan yang memihak kerjasama dengan Umno atau disebut juga “Geng Ustaz”.

Menurut sumber, pertembungan antara dua kumpulan ini masih terkawal biarpun selepas salah seorang tokoh utama yang pro-Umno Mohd Khairuddin Aman Razali dipecat daripada jawatan parti dan kemudian keluar PAS.

“Setakat ini tiada gelombang seperti itu lagi, yang mengikut Khairuddin keluar parti juga tidak ramai kurang… satu peratus sahaja,” katanya.

Muktamar PAS kali ke-68 akan diadakan pada 3 dan 4 September bertempat di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. Sayap parti pula dijadual bersidang sehari sebelumnya.

Sabtu lepas, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti tidak menerima usul memutuskan kerjasama dengan Umno.

Katanya, PAS tetap dengan pendirian bahawa penyatuan ummah tidak terhad pada kerjasamanya dan Umno semata-mata tetapi terbuka kepada parti lain yang mahu bermuafakat dengan mereka.

PAS yang mengasaskan PN bersama Bersatu sebelum dilapor akan menggunakan logo gabungan itu, yang dibentuk selepas perubahan politik Februari 2020, sementara ada dalam kalangan pemimpin parti Islam itu yang mahu kekal menggunakan lambang bulan.

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua PAS Jelebu, Muhammad Faudzi Jalil Al-Ahmadi berkata tidak timbul soal akar umbi keliru dengan pendirian parti Islam itu.

Katanya, semua jentera parti diberikan kefahaman sehingga sekarang bahawa PAS akan memasuki PRU15 bersama PN dan menggunakan lambang PN.

“Berkaitan hubungan dengan Umno dan MN pula, PAS tidak pernah memutuskan hubungan dan kerjasama ini, cuma pada masa ini Umno sendiri yang memutuskan tidak mengadakan kerjasama.

“PAS kekal dengan pendirian mahukan ketiga-tiga parti Melayu terbesar iaitu PAS, Bersatu Umno bekerjasama dan sepakat dalam PRU15,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata kenyataan Takiyuddin membayangkan PAS sememangnya tidak mahu mematikan terus kerjasama dengan Umno.

“Mereka mahu supaya tetap ada ruang kerjasama biarpun selepas pasca PRU15.

“Sebagai contoh dalam PRU15 jika Umno boleh dapat 70 kerusi, PAS dapat 30-35 kerusi jadi Umno tak boleh nak bentuk kerajaan melainkan dengan PAS.

“Masalah yang tolak (kerjasama) adalah bawah kepimpinan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, tapi bawah pimpinan Ismail Sabri Yaakob (dalam kerajaan) ia bukan isu,” katanya. – 27 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen