Rusia intip askar Ukraine berlatih di Jerman, menurut laporan


Peta Ukraine digantung di bilik gerakan komando angkatan tentera Jerman di Schwielowsee, timur Jerman. Majalah Spiegel pada Jumaat melaporkan perisikan Rusia mengintip latihan tentera Ukraine di Jerman. – Gambar AFP, 26 Ogos, 2022.

PASUKAN keselamatan Jerman dakwa ada “petunjuk” perkhidmatan rahsia Rusia mengintip tentera Ukraine yang berada di Jerman untuk menerima latihan senjata, lapor majalah Spiegel pada Jumaat.

Pasukan tentera Jerman didakwa melihat kenderaan yang mencurigakan di luar dua tapak tempat rekrut warga Ukraine sedang dilatih.

Drone kecil juga digunakan untuk terbang di atas tapak latihan sebelum hilang dengan pantas, menurut Spiegel tanpa memetik sumbernya.

Dua lokasi yang didakwa diintip itu ialah di Idar-Oberstein, negeri barat Rhineland Palatinate di mana askar Ukraine sedang dilatih menggunakan kereta kebal howitzer 2000 dan Grafenwoehr di Bavaria yang diajar oleh tentera AS.

Sumber keselamatan juga percaya perkhidmatan Rusia menggunakan pengimbas dalam usaha untuk mengakses data telefon bimbit askar Ukraine, kata majalah itu.

Jerman telah menangkap beberapa suspek untuk dibicarakan kerana mengintip bagi pihak Rusia.

Tahun lepas, mahkamah Jerman menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada seorang lelaki Rusia kerana menembak mati seorang bekas komander Chechnya di taman Berlin pada siang hari, yang didakwa arahan daripada Moscow.

Seorang lelaki Jerman kini dibicarakan kerana didakwa menyalurkan maklumat kepada perkhidmatan perisikan Rusia semasa bekerja sebagai pegawai simpanan untuk tentera Jerman. – AFP, 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen