Latihan tentera China hanya perkukuh solidariti antarabangsa, kata Taiwan 


Menteri Luar Taiwan Joseph Wu berkata pihaknya tidak akan berhentu untuk menjalinkan hubungan dengan negara lain hanya kerana ancaman China terhadap Taiwan.– Gambar EPA, 26 Ogos, 2022.

LATIHAN ketenteraan besar-besaran oleh China di sekitar Taiwan hanya menjadikan sekutu lebih berazam untuk melawat pulau demokrasi itu dan menunjukkan solidariti, kata menteri luar Taipei Joseph Wu pada hari Jumaat.

Beijing mengadakan latihan laut dan udara yang tidak pernah berlaku sebelum ini sebagai tindakan balas terhadap lawatan Speaker Dewan Rakyat AS Nancy Pelosi ke Taiwan bulan ini, menyebabkan ketegangan ke tahap tertinggi dalam beberapa dekad.

Tiga ahli politik AS turut melawat negara itu selepas Pelosi, yang terbaru ialah senator Tennessee Marsha Blackburn yang bertemu dengan Presiden Taiwan Tsai Ing-wen pada hari Jumaat.

“Kami tidak akan berhenti berkawan hanya kerana ancaman China terhadap Taiwan,” kata Wu pada taklimat dengan media asing.

Taiwan hidup di bawah ancaman pencerobohan berterusan oleh China, yang mendakwa pulau yang diperintah sendiri sebagai sebahagian daripada wilayahnya akan dirampas suatu hari nanti—secara kekerasan jika perlu.

Beijing mengecam mana-mana tindakan diplomatik yang mungkin memberi kesahihan Taiwan dan telah membalas dengan kemarahan yang semakin meningkat terhadap lawatan pegawai dan ahli politik Barat.

Wu berkata tindakan China menunjukkan kekerasan tidak produktif dan “akan ada lebih banyak” lawatan ke Taiwan oleh pemimpin antarabangsa.

“Disebabkan tekanan tentera yang ditunjukkan China terhadap Taiwan, lebih ramai orang daripada sebelumnya yang mahu datang dan menunjukkan sokongan mereka,” kata Wu.

“Ramai rakan antarabangsa telah memberitahu kami bahawa mereka sangat berminat untuk datang ke Taiwan dan tujuannya sangat mudah—hanya untuk menunjukkan solidariti.” – AFP, 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen