SERANGAN keganasan di Manchester, Jakarta dan Mesir minggu lalu dirancang untuk diadakan serentak dengan Ramadan, bulan paling suci dalam kalendar Islam, kata pakar keganasan militan.
Ahmad El- Muhammady yang terbabit dalam pemulihan militan dan Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu The Malaysian Insight, militan Islamik percaya mereka akan dapat ganjaran lebih besar di syurga jika melakukan serangan ketika hampir Ramadan.
“Ganjaran itu menjadi kuasa mendorong mereka melakukan ‘operasi besar keganasan’ ini,” kata Ahmad.
“Mereka sering menggunakan pengalaman nabi yang berperang ketika Ramadan sebagai justifikasi. Sebab itu serangan seperti ini penting bagi mereka.”
Ahmad berkata serangan itu dirancang. Ia kesan daripada proses merekrut yang panjang dan persediaan oleh IS.
“Mereka hanya tunggu masa sesuai untuk menyerang.”
Kumpulan pengganas IS cuba mewujudkan Khatibah Nusantara, Negara Islam di rantau Asia kerana wilayahnya di Syria dan Iraq semakin mengecil sejak 2016.
“Kesannya ialah, ia menghasilkan kesan limpahan ke rantau lain. Penyokong IS tidak lagi boleh ke Syria.
“Kerana kekangan itu, mereka diarah menyerang dari dalam,” kata Ahmad.
Beberapa serangan keganasan minggu lalu bermula pada 22 Mei di Manchester Arena di United Kingdom di mana seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya selepas konsert Ariana Grande mengorbankan 22 orang termasuk kanak-kanak.
Dua hari kemudian di Jakarta, sepasang pengebom berani mati menyerang di stesen bas, membunuh tiga pegawai polis. Enam lagi polis dan lima orang awam turut cedera.
Pada 26 Mei, sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah bas membawa Kristian Koptik di tengah Mesir, membunuh sekurang-kurangnya 28 orang dan mencederakan 25 yang lain. Bas itu dalam perjalanan ke Gereja St Samuel the Confessor, kira-kira 135km selatan Kaherah, dari wilayah Minya, ketika ia terbakar.
Semua tiga serangan itu dikaitkan dengan militan IS dan ia berlaku hanya beberapa hari sebelum umat Islam di seluruh dunia menyambut Ramadan pada 27 Mei.
Serangan hampir sama berlaku ketika Ramadan pada Jun tahun lalu. Pada 12 Jun, 49 orang terbunuh manakala 53 cedera ketika lelaki bersenjata Omar Mateen menyerang sebuah kelab malam gay sebelum dia dibunuh polis. Mateen sebelum ini dikatakan mendapat inspirasi daripada IS.
Pada 28 Jun, IS dipercayai menjadi dalang kejadian tembakan dan pembunuh berani mati di Lapangan Terbang Ataturk Istanbul, Turki. Seramai 44 orang terbunuh.
IS juga mendakwa bertanggungjawab atas serangan tembakan lima militan di sebuah restoran di Dhaka, Bangladesh di mana 22 orang awam dan dua pegawai polis maut.
Ahmad berkata apa yang IS mahukan sekarang ialah menunjukkan kehadiran mereka dan menapak di sebanyak mungkin tempat di seluruh dunia sebagai lambang kekuatan mereka.
Beliau memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan mengelak tempat hiburan termasuk kawasan sekitar kelab malam.
Sementara itu, Ayub berkata Malaysia sentiasa berjaga-jaga dan mengambil langkah proaktif untuk membendung kejadian seumpama itu.
Katanya, mereka yang ada kaitan dengan ideologi salafi jihadi, sama ada ia IS, Al-Qaeda atau kumpulan ekstremis Islam lain, akan digalakkan melancarkan serangan ketika Ramadan.
“Kami sentiasa berjaga-jaga dan memantau situasi itu. Undang-undang dan program pemulihan kita banyak membantu dalam menangani masalah ini,” kata Ayub. – 30 Mei, 2017.
Komen