Serangan Rusia musnahkan hab kereta api Ukraine


Anggota penyelamat Ukraine berusaha menyelamatkan penduduk yang terperangkap dalam runtuhan akibat serangan peluru berpandu Rusia di timur Dnipropetrovsk. – Gambar EPA, 26 Ogos, 2022.

“IA amat memalukan untuk budak ini, sangat memalukan,” kata Viktor, seorang penduduk di bandar Chaplyne, Ukraine, apabila jirannya maut akibat serangan Rusia.

Peluru berpandu Rusia memusnahkan bandar yang mempunyai 4,000 orang penduduk, yang juga hab kereta api di wilayah timur Dnipropetrovsk, mengorbankan 25 orang termasuk dua kanak-kanak dan mencederakan 31 orang, kata pejabat presiden pada Khamis.

“Seorang budak lelaki berusia 11 tahun terbunuh di bawah runtuhan, seorang lagi berusia enam tahun mati dalam kereta yang terbakar berhampiran stesen,” kata Timbalan Ketua Pejabat Pentadbiran Presiden Kyrylo Tymoshenko menerusi Telegram.

Salah satu peluru berpandu memusnahkan rumah jiran Viktor, meninggalkan kawah besar di halamannya.

Ketika kejadian Viktor tiada di rumah tetapi terdengar bunyi letupan dari jauh.

“Anak perempuan saya menghubungi saya untuk memberitahu saya apa telah berlaku di sini. Saya pulang dengan basikal. Rumah sebelah sudah tidak wujud lagi. Terdapat lubang sedalam lima meter,” katanya.

Jiran dan anaknya dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan.

Tetapi penduduk tempatan tahu masih ada anak kedua di bawah runtuhan dan mula membersihkannya.

“Selepas itu, penyelamat tiba dan kami menariknya keluar,” kata Viktor.

“Kami melihatnya setiap hari, dia seperti anak kami,” katanya.

Anak perempuan dan ibu mertua Viktor berada di tempat kejadian ketika serangan.

“Mereka berdua terkejut,” kata isteri Viktor, Kateryna sambil menangis.

Serangan itu mengenai stesen kereta api dan “lima gerabak terbakar,” kata Artem Zhuravlyov, seorang pegawai perkhidmatan kecemasan. – AFP, 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen